Jangan putus asa jika doa tidak dimakbulkan


  • Mukmin
  • Ahad, 10 Okt 2021

DOA merupakan senjata orang Islam. — Gambar hiasan/Agensi

ADA ketika seorang hamba akan berasa berputus asa apabila dia merasakan bahawa doa yang dipohon kepada ALLAH SWT seperti tidak dimakbulkan.

Namun, ALLAH SWT sebenarnya adalah sebaik-baik perancang dan Dia akan memberi ganjaran lumayan terhadap hamba-hambanya yang sabar dan taat.

Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, doa merupakan lambang pengabdian diri seorang hamba kepada pencipta serta satu cara untuk memohon sesuatu daripada ALLAH.

Jelasnya, doa hendaklah dilakukan dengan penuh perasaan merendah diri, kekusyukan jiwa, harapan dan pergantungan yang mutlak diserahkan kepada-Nya.

"Ramai orang berdoa, tetapi tidak ramai pula yang jiwanya ketika berdoa itu jiwa merendah, penuh tunduk dan khusyuk kepada ALLAH," katanya.

Beliau berkongsi firman ALLAH SWT daripada Surah al-‘Araf ayat 55 yang bermaksud:

“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) yang perlahan. Sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”

Katanya, seorang hamba akan menghampiri pintu kemakbulan sekiranya dapat menjadikan jiwanya beradab, merendah diri, khusyuk serta penuh pengharapan kepada ALLAH.

Beliau kemudian berkongsi satu lagi firman ALLAH SWT dari Surah al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud:

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk."

Jelas Mohd Asri, hanya ALLAH yang mempunyai ilmu tentang waktu dan ketika untuk sesuatu doa diperkenankan.

Namun, katanya, doa seorang hamba kadang-kala dilewatkan atas hikmah yang diketahui oleh ALLAH, dan insan yang berdoa juga biasanya akan tersingkap hikmah tersebut apabila tiba masanya.

Tambahnya, cara Allah memustajabkan sesuatu doa hamba itu juga berbeza-beza. Ada kalanya, Allah menyediakan sesuatu yang lain yang lebih baik untuk hambanya .

"ALLAH mungkin menggantikan kekayaan yang besar itu dengan rezeki yang mencukupi, kesihatan yang baik, anak-anak yang soleh dan keluarga yang bahagia.

"Sehingga apabila tiba waktu doa itu ditunaikan ALLAH, baru kita akan merasa betapa beruntungnya kemustajaban itu hadir pada waktu tersebut. Maka jangan putus asa dalam berdoa," katanya.

Beliau turut berkongsi satu Hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud:

"Sentiasa doa dimustajabkan untuk seorang hamba ALLAH selagi mana dia tidak berdoa untuk membuat sesuatu dosa, atau memutuskan silaturrahim, selagi dia tidak tergopah-gapah". Ditanya baginda: "Apa itu tergopoh-gapah?". Sabda baginda: "Apabila dia berkata: aku telah pun berdoa! aku telah pun berdoa, tetapi aku tidak nampak pun dimustajabkan untukku, lalu dia berhenti ketika itu dan meninggalkan doa."

Mohd Asri berpesan, sebagai hamba, kita tidak boleh cepat menyatakan bahawa doa yang kita pinta tidak diterima, sebaliknya hendaklah sentiasa menyemak dan menilai segala kurnia ALLAH yang ada di sekeliling.

Jelasnya, kemustajaban doa itu berlaku dalam berbagai bentuk, sehinggakan ada yang ALLAH tangguhkan apa yang diminta itu ke hari akhirat, kerana ALLAH mengetahui bahawa di saat itu insan tersebut lebih memerlukan apa yang diminta tersebut. — Majoriti

doa, makbul, memohon kepada Allah