Media sosial bawa sejuta manfaat kepada orang soleh


  • Mukmin
  • Sabtu, 09 Okt 2021

KHUTBAH Jumaat mengingatkan seluruh masyarakat Islam supaya tidak menyalahgunakan media sosial untuk tujuan yang menyanggahi syariat, adab dan akhlak. —Agensi


MEDIA sosial merupakan salah satu alternatif untuk interaksi sosial, sumber ilmu, perniagaan, selain membuka banyak peluang muamalat dan maslahat sesama manusia, kata khutbah Jumaat bertajuk Awasi Jerat Media Sosial.

Namun, Khutbah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berkata, ia juga boleh membawa kepada kerosakan dan keburukan.

"Jika ia (media sosial) berada pada orang yang soleh, maka ia akan membawa sejuta manfaat.

"Tetapi jika ia berada pada orang yang rosak hati dan mindanya, ia akan mencetuskan

pelbagai kemudaratan," kata khutbah.

Seiring dengan kemunculan pelbagai platform media sosial, khutbah berkata, semakin ramai rakyat Malaysia yang mendaftar sebagai penggunanya, khususnya golongan remaja.

Katanya, ini termasuk aplikasi TikTok, WeChat, Twitter dan Bigo.

"Jika kandungan yang ditonjolkan menepati syariat, ia harus diraikan.

"Sebaliknya amat dibimbangi, terdapat kandungan yang mempromosikan perkara maksiat dan dosa seperti menjalinkan hubungan terlarang antara bukan mahram, mempamerkan aksi mengghairahkan, perjudian atas talian serta penyebaran gambar dan video lucah," katanya.

Pada masa sama, khutbah mengingatkan seluruh masyarakat Islam supaya tidak menyalahgunakan media sosial untuk tujuan yang menyanggahi syariat, adab dan akhlak, termasuk sengaja mencetuskan provokasi, perbalahan, penghinaan dan cemuhan kepada pihak lain sama ada terhadap sesama Islam atau bukan Islam.

Khutbah juga mengingatkan supaya berhati-hati membuat sebarang komentar dalam apa-apa isu kerana setiap ayat dan perkataan yang ditulis akan dihitung oleh ALLAH SWT.

"Marilah kita manfaatkan media sosial untuk membina masyarakat yang saling bergantung antara satu sama lain dan menjayakan apsirasi kerajaan untuk membentuk ‘Keluarga Malaysia’ yang sejahtera," ujarnya. — Majoriti

khutbah, media sosial, JAWI