Jangan sombong berdoa


  • Mukmin
  • Khamis, 07 Okt 2021

BERDOA itu satu ibadah dan setiap umat Islam itu disifatkan sebagai sombong jika tidak memohon kepada Allah. Gambar hiasan.

SOMBONG atau takbur adalah salah satu sifat mazmumah, yang mana seseorang memandang dirinya lebih mulia dan lebih tinggi pangkatnya daripada orang lain serta memandang orang lain sebagai hina dan berpangkat rendah.

Dalam al-Quran, ALLAH SWT menggalakkan hamba-Nya berdoa serta menyebut mengenai sifat sombong, seakan-akan kedua-dua perkara ini mempunyai kaitan.

Firman ALLAH SWT dalam ayat 60 surah Ghafir yang bermaksud: "Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.

“Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina,”

Mengulas mengenai ayat itu, Dr Ahmad Sanusi Azmi menerusi Telegram berkata, setelah ALLAH SWT memerintahkan manusia berdoa, Dia turut menyebutkan mengenai perihal hamba-hambaNya yang sombong.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, ayat berkenaan seolah-olah memberi satu indikator atau petunjuk bahawa mereka yang enggan tunduk dan patuh kepada ALLAH SWT dan tidak berdoa kepada-Nya adalah golongan yang sombong.

“Ketika menghuraikan ayat itu, al-Imam al-Syaukani menjelaskan dalam kitab Tuhfah al-Zakirin: "Ayat ini menunjukkan bahawa doa itu adalah ibadah, dan meninggalkan doa kepada ALLAH SWT adalah satu kesombongan,” katanya.

Justeru, Ahmad Sanusi mengingatkan umat Islam supaya memperbanyakkan berdoa kepada ALLAH SWT dalam setiap keadaan, sama ada ketika susah mahupun senang.

“Ia adalah medium komunikasi yang ampuh di antara hamba dan Tuhan-Nya, yang menggambarkan kekuatan hubungan dan pengabdian kepada ALLAH SWT,” katanya. —Majoriti

doa, sombong, ALLAH SWT