Bumi itu bulat menurut Islam


  • Mukmin
  • Jumaat, 08 Okt 2021

AL-QURAN tidak pernah menolak bentuk bumi ini bulat, bahkan ada menjelaskan tentang bentuk bumi yang kebulatan.
PERBALAHAN mengenai bentuk bumi merupakan satu isu yang hangat dibicarakan sejak dari dahulu lagi. Boleh dikatakan banyak yang percaya bahawa bumi itu berbentuk bulat atau sfera, tetapi masih juga ada golongan yang berpendapat bahawa bumi itu mendatar.

Sebagai agama yang menyeluruh, Islam tidak terkecuali daripada menerangkan bentuk bumi kepada pengikut-pengikutnya melalui ayat Al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad SAW.

Berbicara mengenai isu ini, Jabatan Mufti Negeri Perlis dalam kenyataannya berkata, Al-Quran tidak pernah menolak bentuk bumi ini bulat, bahkan ada menjelaskan tentang bentuk bumi yang kebulatan.

"Cumanya, ketika al-Quran berbicara dengan manusia pada nisbah mereka berada di dunia, Al-Quran akan menggunakan ungkapan yang boleh difahami oleh manusia berdasarkan apa yang jelas pada pemerhatian mereka di dunia," katanya.

Jabatan Mufti Negeri Perlis berkongsi firman ALLAH SWT dari Surah Al-Ghathiah ayat 17 hingga 21 yang bermaksud:

“Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta bagaimana dia diciptakan, dan langit, bagaimana ia ditinggikan? Dan gunung-gunung bagaimana ia ditegakkan? Dan bumi bagaimana ia dihamparkan?”

Jelas Jabatan Mufti Negeri Perlis, ayat seperti ini berbicara kepada manusia menurut apa yang mereka dapat lihat melalui kedudukan mereka di bumi.

Tambahnya, menurut pemerhatian manusia dari arah bumi, jelas kelihatan bumi itu suatu yang terhampar dan terbentang luas di hadapannya.

"Bentuk bumi yang bulat hanya dapat diperhatikan jika manusia berada di ruang angkasa dan melihat ke bumi," katanya.

Justeru, ketika Al-Quran berbicara berkaitan alam secara keseluruhan, gambaran itu disebutkan melalui ayat lima Surah Al-Zumar yang bermaksud:

“Dia (ALLAH) telah menciptakan langit dan bumi dengan (tujuan) yang benar; Dia yang menggulungkan malam atas (menggantikan) siang dan menggulungkan siang atas (menggantikan) malam dan menundukkan matahari dan bulan, masing-masing berlegar menurut waktu yang ditentukan. Ingatlah Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun."

Jelas Jabatan Mufti Negeri Perlis, perkataan yukawwir yang terdapat dalam ayat tersebut yang diterjemahkan sebagai "menggulungkan" jelas mengisyaratkan bahawa bumi ini berbentuk kebulatan.

Selain itu, menurutnya lagi, bentuk bumi yang bulat dapat dibuktikan melalui ungkapan “tergelincir matahari” yang digunakan oleh Nabi Muhammad SAW ketika menerangkan waktu solat Zohor.

"Di mana tidak dikatakan tergelincir melainkan ia berupa isyarat kepada adanya perubahan kedudukan dari bumi yang terbit menuju ke atas, kemudian turun atau tergelincir. Ini menunjukkan bentuk bumi yang sfera bukan mendatar," jelasnya.

Jabatan Mufti Negeri Perlis berkongsi sepotong Hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud:

“Dan Jibril mengimamkan aku solat Zohor ketika tergelincir matahari.”

Kata Jabatan Mufti Negeri Perlis, anggapan sebahagian umat Islam yang mengatakan bumi ini leper dan rata adalah salah dan tidak berpandukan kepada huraian yang benar kerana dalil-dalil agama tidak pernah menafikan bumi ini bulat, bahkan menyokong bumi ini berbentuk kebulatan atau sfera. — Majoriti