ASAS kepada mandi wajib adalah menghilangkan najis di badan sekiranya ada dan meratakan air ke seluruh badan dengan disertakan niat untuk mengangkat hadas.
Bagaimanapun, ramai yang tidak faham tentang kewajipan selepas berhadas besar itu.
ALLAH SWT memerintahkan hamba-Nya melaksanakan mandi wajib bagi sesiapa yang berhadas besar sebelum melakukan beberapa ibadah seperti mendirikan solat, tawaf, memegang mushaf al-Quran, beriktikaf di masjid dan seumpamanya.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan.
"Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci," Surah al-Nisa’ ayat 43.
Terdapat satu lagi firmah ALLAH SWT yang bermaksud, "Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib," Surah al-Maidah ayat enam.
Berdasarkan perkongsian Pejabat Mufti Kuala Lumpur, para ulama telah menetapkan bahawa syarat fardu bagi mandi wajib hanya tiga iaitu niat, menghilangkan najis jika sekiranya ada pada badan dan meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan.
Menurut perkongsian itu, apabila seseorang itu melaksanakan fardu mandi wajib, maka mandi wajibnya telah sah dan tidak perlu untuk dia mengulanginya sekali lagi.
"Seorang individu haruslah memastikan bahawa mandi wajib yang dilakukannya tersebut sah dengan melakukan syarat fardu mandi wajib tersebut.
"Jika dia berbuat demikian, maka barulah boleh menunaikan solat kerana telah menghilangkan hadas," katanya.
Tambah perkongsian itu lagi, sekiranya seseorang telah melaksanakan solat dengan keyakinannya terhadap kesucian dirinya dengan mandi tersebut, maka tidak perlu untuk dia mengulanginya walaupun dia mandi dengan sekadarnya sahaja.
"Begitu juga jika dalam keadaan orang itu yakin bahawa dia telah melaksanakan mandi wajib, namun kemudiannya syak bahawa sama ada dia sudah terbatal ataupun tidak.
"Maka hukum mandinya masih kekal sah. Ini kerana kaedah fiqh menyebutkan bahawa keyakinan tidak akan terangkat dengan syak," jelasnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram