Berhibur tidak salah tapi perlu berlandaskan Syariah


  • Mukmin
  • Sabtu, 25 Sep 2021

HIBURAN dalam Islam adalah suatu yang menenangkan dan mendidik jiwa. — Agensi

BERHIBUR merupakan fitrah semulajadi manusia dan n merupakan suatu perkara yang disenangi oleh naluri insan.

Kebanyakan manusia menjadikan hiburan sebagai saluran kreativiti yang mencerminkan gambaran pemikiran, emosi, dan inovasi manusia.

Selain itu, ia juga adalah gabungan keindahan seni, kehalusan bahasa dan keunikan budaya manusia yang mampu mententeramkan jiwa dan melahirkan kegembiraan.

Islam juga tidak menghalang umatnya berhibur namun, hiburan di sisi Islam perlu disuluh dan dipandu mengikut nilai-nilai murni yang dibawa oleh Islam.

Hadis daripada Khalid bin Zakwan RA bahawa Al-Rubai’ binti Mua’wiz menceritakan:

”Nabi s.a.w telah mengunjungiku di hari perkahwinanku, baginda mengambil tempat duduk di atas hamparanku, sepertimana kamu berada dihadapanku sekarang.

"Ketika itu sekumpulan hamba perempuan sedang memukul gendang sambil menyanyi dan memuji pejuang-pejuang yang terqurban di kalangan bapa-bapa kami di perang Badar.

"Salah seorang penyanyi tersebut menyebut: 'Bersama kami nabi Allah yang mengetahui apa yang akan berlaku esok hari.'

"Mendengar lirik terakhir itu Rasulullah s.a.w menegurnya: 'Tinggalkan kata-kata itu dan teruskan dangan apa telah kamu nyanyikan sebelumnya'," hadis Riwayat al-Bukhari

Hiburan dalam Islam adalah suatu yang menenangkan dan mendidik jiwa. Bahkan melakukannya bukan hanya semata-mata untuk mencari keseronokan dan memenuhi runtunan nafsu tanpa batasan.

Konsep berhibur dalam Islam adalah dengan tujuan untuk membangunkan dan memdamaikan jiwa, menenangkan fikiran dan merehatkan rohani serta jasmani.

Melihat kepada realiti hiburan kita pada hari ini, dapat dirumuskan bahawa sebahagaian besar hiburan kita gagal mencapai matlamatnya.

Bukan sahaja hiburan tersebut gagal memberi ketenangan jiwa dan kedamaian dalam sanubari kita, malah ia telah mencetuskan masalah dan kecelaruan di dalam kehidupan.

Kebanyakkan hiburan masa kini bertujuan memenuhi runtunan nafsu semata-mata.

Hiburan yang ada bukan sahaja tidak mendidik jiwa, malah mendorong kepada kelalaian, maksiat dan pergaulan bebas yang akhirnya mengundang kepada gejala sosial yang merosakkan kesejahteraan hidup umat Islam.

Melihat kepada realiti ini, umat Islam perlu meemahami ciri-ciri hiburan mengikut syariat Islam.

Pertama, Lagu dan senikata lagu atau hiburan tersebut mestilah tidak melalaikan, tidak bertentangan dengan aqidah dan syariat Islam, tiada unsur maksiat seperti memuja kecantikan wanita, menganjurkan hubungan bebas muda-mudi dan perlanggaran syariat.

Kedua, ia tidak melalaikan dan berlebih-lebihan dalam berhibur sehingga hak-hak Allah dan kewajipan yang lain terabai.

Manakala ketiga, tiada percampuran di antara lelaki dan wanita ajnabi dalam berhibur.

Kini telah banyak sumber-sumber hiburan Islam yang boleh dijadikan alternatif kepada hiburan yang sedia ada yang jelas melalaikan.

Terdapat juga banyak usaha yang telah dibuat untuk membangunkan hiburan Islam dengan kemunculan kumpulan-kumpulan nasyid dan halaqah-halaqah zikir.

Sesungguhnya, hiburan yang sebenar adalah hiburan yang mengingatkan kita kepada Tuhan Maha Pencipta, Allah SWT. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

hiburan, Islam, Syariah, Nabi Muhammad, batas