HASRAT seorang ibu untuk memeluk agama Islam akhirnya kesampaian selepas dia mengucap dua kalimah syahadah di atas katil di Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan, Sabah pada 9 September lalu.
Laimi @ Nur Laila Tinggi, 66, merupakan seorang pesakit Covid-19 yang kini mendapatkan rawatan di HDOK dan memerlukan alat bantuan pernafasan.
Kejadian itu turut dikongsi menerusi satu rakaman video berdurasi dua minit yang memaparkan Nur Laila mengucap dua kalimah syahadah di hadapan tiga jururawat di hospital berkenaan.
Nur Laila ketika itu sedang terbaring di atas katil dan bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan.
Dalam video yang dikongsi Nur Laila juga mengatakan bahawa, 'Aku sudah sah Islam.'
Video itu juga menjadi tular sehingga mengundang tanggapan netizen bahawa dia memeluk Islam tanpa pengetahuan ahli keluarganya.
Ibu kepada lima cahaya mata itu berketurunan Dusun dan dilahirkan dalam agama Kristian dari Beluran.
Menurut anak sulung Nur Laila, Firdaus Fringco Abdullah, 45 ibunya sangat gembira dan dengan penghijrahan yang dilakukannya.
"Kami (keluarga) membuat panggilan video minggu lepas dan pada masa itu ibu menyatakan niatnya (untuk memeluk Islam) yang menyentuh hati kami,” katanya
"Saya rasa bertanggungjawab untuk menjelaskan hal itu menerusi Facebook kerana ibu saya masih mempunyai saudara-mara yang bukan Muslim," katanya.
Tambahnya lagi dia membuat hantaran dalam Facebook untuk menjelaskan tanggapan yang timbul mengenai keadaan ibunya ketika menerima rawatan di HDOK.
Dia menjelaskan, ibunya pernah menyatakan hasratnya untuk memeluk agama Islam kerana empat daripada lima anaknya serta beberapa adik-beradiknya juga telah memeluk Islam.
"Ibu menghidap penyakit buah pinggang dan telah melengkapkan vaksinasi Covid-19, dimasukkan ke hospital pada 4 Sept dan memerlukan alat bantuan pernafasan.
"Saya telah menghubungi seorang pegawai di hospital itu memohon sekiranya ibunya boleh dibimbing untuk mengucap dua kalimah syahadah di atas katil hospital dan kira-kira 4 petang 9 September lalu," ujarnya.
Sementara itu, menjawab soalan tentang kondisi ibunya sekarang, Firdaus memberitahu bahawa ibunya semakin pulih dengan tidak lagi batuk-batuk
"Ibu juga boleh merasa makanan sekarang.
"Ibu tidak ditidurkan dan tidak dirawat di unit rawatan rapi,” jelasnya.
Tambah Firdaus lagi, ibunya belum lagi dibenarkan keluar dari hospital dan masih dalam pemantauan berikutan keadaan buah pinggangnya.
Dia juga mengucapkan terima kasih kepada pihak hospital dan kakitangan kesihatan atas dedikasi mereka dalam merawat pesakit Covid-19 termasuk sepanjang rawatan ibunya di HDOK itu.
"Mereka (hospital dan kakitangan kesihatan) wajar diiktiraf sepanjang masa.
"Perkhidmatan mereka melangkaui tugas yang bukan hanya perubatan tetapi juga kemanusiaan,” kongsinya. —Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram