IBU bapa pada zaman dahulu kebiasaannya memberi pesanan supaya tidak pulang ke rumah pada lewat Maghrib, selain memastikan anak-anak mereka sudah mandi serta menutup pintu dan tingkap.
Perkara ini selari dengan ajaran dalam agama Islam seperti salah satu sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Apabila kegelapan malam menjelma atau apabila lewat petang, maka tahanlah anak-anak kamu. Ini kerana, pada waktu itu syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu beberapa ketika daripada malam, biarkanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu serta sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup,” (HR al-Bukhari dan Muslim).
Daripada hadis itu, penceramah bebas, Asma Harun berkata, terdapat pesanan Nabi Muhammad SAW yang ingin sampaikan kepada umatnya iaitu menahan anak-anak ketika Maghrib daripada berada di luar rumah.
“Menutup pintu-pintu rumah, serta menyebut nama Allah.
“Subhanallah, bukan sengaja ibu ayah kita dahulu berpesan. Pasti ada adab dan alasannya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Turut berkongsi satu doa yang diambil daripada surah Al-Mukminun ayat 97 dan 98, Asma Harun berkata, ia sangat bagus untuk diamalkan bagi mengelak daripada gangguan syaitan.
“ ربِ أعُوذُ بِك مِن همزٰتِ ٱلشيٰطِينِ yang bermaksud, “Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan.
“ وأعُوذُ بِك ربِ أن يحضُرُونِ yang bermaksud, “Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku, dari kedatangan mereka kepadaku,” katanya.
Beliau berkata, doa itu tidak terikat pada sesuatu masa untuk dibaca dan boleh diamalkan pada bila-bila masa agar dijauhi daripada syaitan.
“Semoga kehidupan kita semua sentiasa di dalam perlindungan Allah SWT,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram