Semangat cintakan negara tidak dihalang dalam Islam


  • Mukmin
  • Jumaat, 17 Sep 2021

SETIAP individu digalakkan untuk mengajar dan menyebarkan kebaikan dalam masyarakat. — The Star

MENANAM rasa cinta dan sayang kepada negara merupakan perbuatan yang juga dilakukan Nabi Muhammad SAW dan patut dicontohi oleh masyarakat hari ini.

Sejarah Nabi sendiri membuktikan bahawa Rasulullah adalah wargenagara yang amat menyayangi Mekah, tanah tumpah darah Baginda.

Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Ahmad Sanusi Azmi, memberitahu semangat cintakan negara bukanlah suatu perkara yang dilarang dalam Islam.

Ahmad Sanusi

Ahmad Sanusi

Jelasnya, ketika dalam perjalanan hijrah meninggalkan Mekah, Baginda telah melalui satu kawasan yang dinamakan Juhfah.

"Lokasi itu adalah sempadan dibahagian utara negeri Mekah. Di sinilah Baginda memaling memerhatikan Mekah lalu bersabda yang bermaksud:

" 'Aku tidak temui negeri yang lebih baik dari engkau (wahai Mekah), dan tidak ada negeri yang lebih aku sayangi dari Mekah. Kalaulah bukan kerana kaummu (iaitu Quraysh) telah menghalauku, aku tidak akan tinggalkan negeri ini.' - Hadis Riwayat al-Tirmizi," kongsinya.

Tambahnya lagi, sifat cintakan tanahair ini dilihat berlaku secara konsisten setelah Rasulullah berhijrah ke Madinah.

Jelasnya, Baginda bersungguh membangunkan Madinah, membentuk suasana harmoni dalam kalangan semua kaum serta menyemaikan rasa cintakan Madinah.

Perkara ini dapat difahami melalui doa yang pernah dibacakan oleh Baginda yang menyatakan:

'Wahai Tuhan kami, lahirkanlah rasa cinta kami kepada Madinah seperti mana kami mencintai Mekah.'- Hadis Riwayat al-Bukhari.

Menurutnya lagi, Saidina Anas bin Malik iaitu pembantu Rasulullah. Saidna Anas pernah bercerita:

'Sesungguhnya Rasulullah itu, sekiranya Baginda pulang dari satu perjalanan yang jauh, apabila sampai sahaja di Madinah dan ternampak anak-anak tangga Madinah, (atau dinding-dinding rumah di Madinah) Baginda akan menggesa untanya supaya berjalan cepat, seakan-akan rindu untuk sampai di Madinah.'-Hadis Riwayat al-Bukhari.

Berdasarkan hadis tersebut, al-Imam Ibn Hajar menjelaskan bahawa, sikap Rasulullah seperti yang dinukilkan oleh Saidina Anas ini memberikan gambaran bahawa tidak salah mencintai nagara apatah lagi tempat tersebarnya dakwah Islam.

Perkara itu turut disampaikan oleh Ibn Hajar yang bermaksud:

'Dan dalam hadis ini menunjukkan mengenai kelebihan Madinah, dan keharusan mencintai nagara dan sayang kepadanya.' -Fathul Bari.

Berdasarkan hadis yang dihuraikan, Ahmad Sanusi memberitahu, setiap individu digalakkan untuk mengajar dan menyebarkan kebaikan dalam masyarakat sebagai tanda sayang kepada negara

"Tindakan itu sejajar dengan hadis oleh Malik ibn al-Huwairith.

"Diharapkan supaya negara ini dijauhkan dari unsur kejahatan seperti rasuah dan pecah amanah dan selamatkan negara ini dari pemikiran yang merosakkan seperti pemikiran liberal," ujarnya. .— Facebook

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram