Kena gantung 10 tahun kerana tidak mahu lawan atlet Israel


  • Podium
  • Khamis, 16 Sep 2021

FETHI Nourine dikenakan hukuman penggantungan selama tahun. — Twitter

GARA-GARA enggan berdepan pencabar dari Israel, atlet judo Algeria, Fethi Nourine dan jurulatihnya dikenakan hukuman pergantungan selama 10 tahun oleh Persekutuan Judo Antarabangsa (IJF).

Insiden itu berlaku pada Sukan Olimpik 2020 Tokyo, baru-baru ini.

Atlet berusia 30 tahun itu sepatutnya bertembung dengan Tohar Butbul dari Israel jika berjaya menewaskan pencabar Sudan, Mohamed Abdalrasool pada pusingan pertama dalam kelas 73kg.

Nourine berkata, sokongannya terhadap Palestin membuatkan dirinya tidak mahu bertemu Butbul, sebelum Jawatankuasa Olimpik Algeria menarik akreditasi dia serta jurulatihnya, Amar Benikhlef dan menghantar mereka pulang dari temasya tersebut.

“Nourine dan Amar digantung selama 10 tahun selepas mereka didapati bersalah menjadikan platform sukan sebagai tempat mereka melakukan protes dan mempromosikan propaganda politik mahupun agama.

“Jelas mereka telah melanggar Kod Etika dan Piagam Olimpik. Mereka akan digantung daripada menyertai sebarang kejohanan dan aktiviti anjuran kami sehingga 23 Julai 2031,” kata IJF dalam satu kenyataan.

Tambah IJF, kedua-duanya bagaimanapun boleh membuat rayuan terhadap hukuman tersebut di mahkamah timbang tara sukan jika mahu.

Ini bukan pertama kali Nourine disingkirkan daripada pertandingan selepas menolak untuk berdepan atlet Israel.

Dia pernah melakukan perkara sama sebelum ini dalam Kejohanan Dunia 2019 diikuti temasya di Tokyo itu yang berakhir pada 8 Ogos lalu. — AGENSI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

fethi nourine, judo, israel, gantung