Karya Saadia kupas budaya Islamofobia di Amerika Syarikat pasca 9/11


  • Mukmin
  • Khamis, 16 Sep 2021

SAADIA mahu generasi masa kini memahami kewujudan Islamofobia dan bersedia untuk berdepan dengan saki baki kebencian itu yang masih wujud pada masa kini. —  Agensi

TRAGEDI serangan 9/11 di Amerika Syarikat merupakan salah satu insiden yang menguatkan penularan budaya Islamofobia dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

Tidak hanya itu, sejarah hitam tahun 2001 itu turut mencetus diskriminasi terhadap komuniti Islam di negara Barat itu.

Berkongsi tentang pengalaman penduduk Islam selepas kejadian 9/11 di Amerika Syarikat, penulis buku kanak-kanak Saadia Faruqi menggarap realiti itu dalam karya fiksyen, Yusuf Azeem Is Not A Hero.



BUKU Yusuf Azeem Is Not A Hero menceritakan tentang kehidupan masyarakat Islam di Amerika Syarikat pasca tragedi 9/11 dalam bentuk fiksyen. — Agensi

Menurut Saadia, buku ini menceritakan tentang seorang kanak-kanak lelaki di Texas yang melayari kehidupan di sekolah menengah.

"Dia dan rakan-rakan serta keluarganya yang beragama Islam berdepan dengan budaya Islamofobia ketika negara itu bersiap sedia untuk memperingati ulang tahun ke-20 serangan 11 September itu.

"Plot penceritaan buku ini bermula apabila Yusuf menemui sebuah jurnal yang diberikan kepadanya. Melalui jurnal itu, Yusuf juga mengetahui pengalaman bapa saudaranya Rahman berdepan dengan pengalaman pahit Islamofobia semasa zaman kanak-kanak," katanya yang berasal dari Pakistan.

Tambah Saadia yang masih belajar di kolej semasa kejadian 11 September, tujuan dia menulis novel ini adalah untuk berkongsi pengalamannya berdepan dengan Islamofobia di Amerika Syarikat terutama kepada generasi masa kini.

Jelasnya, tidak hanya itu, dia juga mengumpul cerita daripada beberapa sumber untuk menggambarkan secara menyeluruh tentang kejadian realiti kehidupan penduduk Islam yang ditindas pasca serangan itu berlaku.

"Saya beragama Islam dan pihak yang terlibat dalam serangan 9/11 juga didakwa didalangi oleh orang Islam. Impak daripada propaganda itu kehidupan kami berdepan penindasan malah pandangan serong serta rasis masyarakat bukan Islam.

"Hubungan antara agama dan serangan menyebabkan peningkatan Islamofobia dan ketakutan, kebencian atau prasangka terhadap agama Islam serta orang Islam juga," ujarnya yang berpindah ke Amerika Syarikat pada tahun 1998.

Kongsinya lagi, menerusi buku ini, dia mahu anak-anak masa kini memahami kenapa wujudnya Islamofobia dan kenapa mereka (beragama Islam) masih berdepan dengan budaya ini sehingga sekarang.

Saadia turut memberitahu, berdasarkan pengalamannya dan beberapa sumber yang digarap dalam buku ini menunjukkan bahawa sehingga kini budaya Islamofobia masih wujud dalam segelintir masyarakat bukan Islam di Amerika Syarikat.

"Kehidupan pasca 9/11 adalah perjuangan umat Islam Amerika Syarikat berdepan dengan kebencian masyarakat bukan Islam di Amerika Syarikat.

"Bukan sahaja penduduk Islam tetapi mereka yang kelihatan sebagai orang Islam juga mendapat tempias. Diskriminasi datang dari pelbagai sudut termasuk dari peringkat sekolah hingga ke tempat kerja," jelasnya.

Tambahnya, dia percaya peralihan masa akan membawa kepada titik akhir kebencian tersebut, namun masyarakat Islam terutama golongan muda harus bersiap sedia berdepan dengan saki bakinya yang masih ada sehingga kini. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram