Obses untuk miliki wajah berbentuk V? Ketahui hukum suntikan filler


  • Mukmin
  • Selasa, 14 Sep 2021

SUNTIKAN Filler boleh mengubah bentuk ciptaan Allah tanpa sebarang pembedahan. — Gambar hiasan/Agensi

UMAT Islam yang obses untuk mendapatkan wajah berbentuk V dengan dagu runcing ditegah sama sekali daripada menggunakan khidmat suntikan filler kerana hukumnya haram di sisi agama.

Majlis Agama Islam dalam irsyad al-fatwa siri ke 599 menjelaskan, hukum melakukan suntikan pada rahang bagi tujuan kecantikan adalah haram kerana ia mengubah bentuk ciptaan ALLAH.

Jelasnya lagi, walaupun proses berkenaan tidak melibatkan pembedahan plastik, ia masih menyebabkan bentuk wajah seseorang itu berubah daripada asal.

"Perubahan yang menunjukkan kesan drastik serta merta seperti bentuk dagu menjadi tirus (runcing) mahupun meninggikan bentuk hidung kelihatan berlebihan dalam mendapatkan rawatan kosmetik adalah termasuk dalam larangan mengubah ciptaan ALLAH SWT," jelasnya.

Selain rahang, filler atau pengisi kebiasaannya akan disuntik di bahagian pipi untuk menambahkan isipadu ke pipi yang tenggelam, membentuk semula hujung hidung dan telinga bagi menaikkan cuping dan mengembalikan kepenuhan telinga serta menghilangkan kendur yang berlaku disebabkan proses penuaan.

Terdapat juga jenis rawatan yang berupaya untuk mengurangkan kedutan wajah dan garis-garis halus.

Mereka yang menjalankan rawatan tersebut bagi tujuan menghalang proses penuaan juga dilihat seolah-olah menafikan fitrah semulajadi yang akan dilalui setiap insan dalam meniti usia lanjutnya.

Terdapat hadis yang dikaitkan dengan larangan mengubah ciptaan ALLAH sepertimana yang diriwayatkan Abdullah bin Mas'ud RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, "ALLAH SWT melaknat wanita-wanita yang melukis tatu dan wanita yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur bulu kening dan wanita yang meminta mencukur bulu kening dan wanita-wanita yang menjarangkan gigi untuk kecantikan yang mana ia merubah ciptaan ALLAH SWT.

"Ancaman laknat dalam hadis menunjukkan pengharaman mengubah ciptaan ALLAH SWT sama ada bagi orang yang melakukannya dan juga orang yang meminta untuk dilakukannya," jelasnya.

Menjelaskan lagi hadis tersebut, Ibn Hajar berkata, hukum bagi mereka yang menjarangkan gigi bagi tujuan perubatan bagaimanapun adalah harus.

Umat Islam sebaliknya dinasihati untuk mensyukuri nikmat kurniaan-Nya serta reda dengan rupa dan bentuk fizikal yang telah ALLAH SWT ciptakan untuk kesemua hamba-Nya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

wajah v-shape, filler, suntikan