DILUDAH dan dipanggil sebagai pengganas merupakan insiden yang dirasai oleh wanita ini serta ahli keluarganya, selang beberapa minggu kejadian serangan 11 September 2001 berlaku.
Setelah dua dekad serangan terhadap Pusat Dagangan Dunia (WTC) itu terjadi, wanita berkenaan iaitu Shahana Hanif menceritakan kembali pandangan masyarakat sekeliling di Amerika Syarikat (AS) terhadap dia dan keluarganya yang beragama Islam.
Sewaktu Shahana berusia 10 tahun, ketika dalam perjalanan ke masjid dari rumah mereka di Brooklyn, New York bersama adik perempuannya, sebuah kereta tiba-tiba menurunkan tingkap kenderaan itu dan meludah ke arah mereka sambil menggelarkan mereka sebagai pengganas.
Wanita terbabit masih ingat bagaimana bingungnya dia ketika itu apabila orang memandangnya sebagai satu ancaman meskipun umurnya baru berusia 10 tahun.
"Ia bukan satu kata yang baik. Ia bermaksud keganasan, ia bermakna bahaya," kata Shahana.
Shahana pernah diludah dan digelar pengganas. — AP
Namun, insiden itu memberikannya kekuatan dan semangat untuk bersuara bagi dirinya serta orang lain.
Shahana kini menjadi penganjur komuniti setempat dan merupakan calon pilihan untuk memenangi kerusi Majlis Bandaraya New York pada pilihan raya perbandaran akan datang.
Seperti Shahana, ramai golongan Muslim Amerika membesar di bawah bayangan insiden 11 September.
Kebanyakan daripada mereka terpaksa berdepan dengan kecurigaan, pertanyaan tentang kepercayaan dan keraguan terhadap keperibadian mereka.
Menurut Ishaq Pathan, 26, dia masih ingat berasa tidak berupaya berbuat apa-apa apabila ditahan oleh pihak berkuasa lapangan terbang untuk disoal siasat sejurus tiba di New York ketika pulang belajar dari Maghribi.
Pihak berkuasa memeriksa kesemua barangan peribadi Ishaq, termasuklah komputer ribanya yang tersimpan jurnal peribadi.
"Saya masih ingat hanya mengalirkan air mata ketika itu. Saya rasa tidak mampu berbuat apa-apa langsung.
"Anda pergi ke sekolah dengan orang lain yang mempunyai latar belakang berbeza dan anda sedar, apakah janji AS. Dan apabila anda lihat negara itu tidak memenuhi janjinya, saya berpendapat situasi itu menyebabkan kami mahu membantu dan mengubahnya," ujar Ishaq.
Ishaq kini bekerja sebagai pengarah Islamic Networks Group, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di San Francisco, California.
Menerusi pertubuhan itu, Ishaq membantu generasi muda menanamkan keyakinan diri terhadap identiti mereka sebagai seorang Muslim. — AP
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram