FUNGSI lisan bukan sahaja membolehkan seseorang itu untuk berbicara dan berkomunikasi, bahkan ia juga mampu menarik seseorang itu sama ada ke syurga atau neraka.
Maka disebabkan itulah junjungan Nabi Muhammad S.A.W menitipkan tiga nasihat kepada Ali bin Abi Thalib tiga pesanan berkaitan lisan.
Pertamanya, dilarang mencela kekurangan orang lain.
Seseorang itu tidak boleh mencela orang lain kerana kekurangan yang dimilikinya kerana setiap umat manusia itu ada kelebihan dan kekuatan masing-masing.
Keduanya, umat manusia dinasihatkan untuk mengawal pertuturan daripada mengeluarkan percakapan yang buruk seperti mencaci, memfitnah atau berbohong kerana semua ini dapat menimbulkan kemudaratan kepada diri sendiri juga orang lain.
Akhir sekali, manusia ditegah untuk melaknat sesama Muslim.
Masyarakat perlu mengawal diri daripada melaknat sesama Muslim baik dari segi lisan secara langsung mahupun melalui penulisan di media sosial dan lain-lain platform.
Ini termasuk sekiranya seseorang itu mempunyai perbezaan pendapat.
Kita sebaliknya dinasihati untuk mendoakan seseorang itu agar mendapat hidayah sebelum berusaha untuk menasihatinya.
Perbuatan sedemikian jauh lebih baik berbanding tindakan melaknat sesama muslim yang hanya akan menunjukkan kedangkalan ilmu dan akhlak seseorang. —AGENSI