Tolak troli 250kg dari UK ke Arab Saudi tunai haji


  • Mukmin
  • Khamis, 09 Sep 2021

ADAM menolak troli yang dibinanya bagi memudahkannnya masak dan tidur. — Agensi

SEORANG lelaki Muslim yang berasal dari Iraq-Kurdish sanggup berjalan kaki dari United Kingdom (UK) ke Arab Saudi bagi menunaikan ibadah haji tepat pada masanya pada tahun hadapan.

Adam Mohamed, 52, berangkat dari Wolverhampton bermula 1 Ogos lalu dan menjangkakan akan tiba ke Makkah sebelum haji pada Julai 2022.

Adam yang kini berada Belanda akan melalui Jerman, Republik Ceko, Bulgaria, Turki, Syria dan Jordan.

Perjalanannya adalah sekitar 6,500 kilometer (km) dan beliau berjalan kaki kira-kira 17.8 km setiap hari.

“Suatu hari saya terbangun dan saya nekad untuk berjalan kaki ke Makkah. Ketika dalam perjalanan saya berdoa dan memohon kepada Allah supaya memberi rahmat dan mengampuni seluruh umat manusia tidak kira bangsa, identiti dan kepercayaan semua orang,” katanya.

Ibadah haji adalah salah satu daripada lima rukun Islam dan mesti dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Aktiviti ziarah tahunan ke kota suci Islam itu adalah salah satu perhimpunan terbesar di dunia dengan lebih daripada dua juta orang mengambil bahagian setiap tahun.

Namun pada tahun ini, pihak berkuasa Arab Saudi tidak mengizinkan kemasukan jemaah haji dari luar negara selain membenarkan ibadah itu terhad kepada 60,000 jemaah penduduk di negara itu.

Ia diputuskan sebagai usaha menghentikan penularan wabak Covid-19.

2781216-1819253162

Troli seberat 250 kg dilengkapi pembesar suara bagi menyebarkan mesej kepada orang ramai. . — Agensi

Dengan menolak troli seberat 250 kilogram dan dilengkapi dengan pembesar suara yang berzikir, Adam berkata, beliau ingin menyebarkan mesej cinta, kedamaian dan persamaaan.

“Perjalanan saya ini akan menjadi perjalanan umat (masyarakat). Kini, ia bukan lagi perjalanan saya sebaliknya untuk setiap bangsa, agama, kepercayaan dan etnik yang berbeza.

Adam yang juga bekerja sebagai jurutera elektrik persendirian itu mendakwa, ramai yang datang kepadanya untuk memberi penghormatan termasuk memberikannya makanan pada setiap hari dan wang tunai.

Malah katanya, ada juga yang mengikut menolak troli bersamanya.

Halaman GoFundMe yang ditubuhkan pada 1 Ogos lalu bertujuan mengumpul dana bagi inisiatif Peace Journey from UK to Makkah dan sehingga kini telah mengumpul hampir £ 30,000 (RM173,232).

Jumlah itu sekali gus melebihi sasaran sebenar iaitu hanya £ 1,000 (RM5,774).

Adam membina troli berukuran seperti sebuah dalam tempoh dua bulan dengan bantuan syarikat kimpalan dan beliau juga memasang tenaga elekrtik bagi membantunya untuk tidur dan masak.

Bapa kepada dua anak itu mula menyelami al-Quran serta mengkaji kehidupan dan tingkah laku manusia setelah Covid-19 melanda.

“Pesan saya kepada seluruh umat manusia, tolong hentikan kebencian, berhenti menilai orang lain. Kita manusia adalah bersaudara,” katanya.

Dalam tempoh 25 hari, beliau telah mendapat setengah juta pengikut di aplikasi TikTok, ketika beliau memaparkan perjalanan hariannya.

Orang ramai yang lalu lalang membawa kereta mula mengenalinya selain kanak-kanak menghampirinya dan memberitahu bahawa mereka akan mendengar nasihatnya.

Dalam salah satu videonya, Adam turut mengenakan tudung selama sehari sebagai penghormatan dan galakan kepada wanita Muslim untuk memakainya dengan bangga. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Haji, jalan kaki, United Kingdom