KETEGANGAN isu diskriminasi dan keganasan terhadap golongan Muslim di India semakin kerap disaksikan semenjak Perdana Menteri, Narendra Modi memegang tampuk pemerintahan negara itu, lapor portal al-Jazeera.
Namun di sebalik konflik keagamaan yang berlaku, masih ada seorang insan berjiwa mulia yang mengetepikan segala isu perkauman atau perbezaan fahaman agama untuk membantu golongan Muslim di negara berkenaan.
Walaupun beragama Hindu, Govindan Gopalakrishnan telah membina lebih 100 buah masjid di wilayah Kerala sehingga dia digelar sebagai 'Lelaki Masjid'.
Projek masjid pertama Gopalakrishnan adalah pembinaan semula masjid Palayam yang dilakukan bersama bapanya sekitar tahun 1960-an.
"Struktur itu mengambil masa selama lima tahun untuk dibina semula dan merupakan pengalaman pembelajaran yang baik.
"Pengalaman itu membuatkan saya sedar bahawa bidang kejuruteraan adalah untuk saya," kata Gopalakrishnan.
Pada tahun 1976, Gopalakrishnan mengetuai pembinaan Beemapally Juma Masjid di Thiruvananthapuram. Pembinaan masjid itu memakan masa selama 18 tahun untuk disiapkan berikutan sumbangan dana yang perlahan.
Meskipun berdepan kekangan bajet, Gopalakrishnan menerapkan elemen yang segar dan lain daripada kebiasaannya.
Sebagai contoh, ketika membina Sheikh Masjid di Karunagappally, Gopalakrishnan menjadikan Taj Mahal sebagai sumber inspirasinya.
Selain itu, Gopalakrishnan juga akan menghiasi bahagian luaran setiap masjid yang dibina dengan ayat al-Quran dalam bahasa Arab serta terjemahannya dalam bahasa Malayalam.
Ujar Gopalakrishnan, dia akan meneruskan usahanya membina masjid kerana rumah Allah seharusnya bebas daripada sebarang prejudis. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram