EKSKLUSIF

Boleh berbuat baik terhadap kucing, tapi jangan sampai abaikan adab berjiran


  • Mukmin
  • Khamis, 02 Sep 2021

Hukum asal memberi makanan kepada kucing jalanan adalah sunat.— Gambar Hiasan/Majoriti

BERBUAT baik kepada haiwan adalah satu perkara yang amat dituntut dan merupakan satu tanggungjawab dalam Islam.

Kisah yang diceritakan dalam sepotong Hadis Nabi Muhammad SAW tentang seorang pelacur yang diampunkan dosanya hanya kerana memberi minum seekor anjing yang kehausan dengan menggunakan kasutnya sudah menunjukkan bagaimana Islam meletakkan darjat berbuat baik kepada haiwan.

Namun apa pula hukum memberi makan kepada kucing jalanan sehingga menyebabkan jiran-jiran berasa tidak selesa disebabkan najis-najis haiwan tersebut yang berselerakan?

Menjawab persoalan tersebut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam kenyataannya menjelaskan, hukum asal memberi makanan kepada kucing jalanan adalah sunat, selagi mana tidak mengganggu ketenteraman awam.

“Memberi makan kepada kucing jalanan merupakan salah satu sikap yang terpuji dan Islam mengajar umatnya supaya berbuat baik sesama makhluk sekalipun terhadap haiwan. Ini adalah sifat ihsan yang diterapkan di dalam agama Islam,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Islam juga menegah dengan keras umatnya daripada menzalimi haiwan.

Katanya, bagi orang yang memelihara haiwan peliharaan, mereka mempunyai tanggungjawab untuk menjaga nafkah dan keperluan haiwan yang dipelihara seperti menyediakan makanan, tempat tinggal dan menjaga kebersihannya

Sekiranya seseorang itu gagal memenuhi keperluan haiwan peliharaannya itu, maka ia akan menanggung dosa di atas perbuatannya.

cat-1730878_1920

Islam mengajar umatnya untuk berbuat baik kepada haiwan. (Gambar hiasan)

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut berkongsi sepotong hadis tentang seorang wanita yang dimasukkan ke dalam neraka kerana menzalimi kucingnya yang bermaksud:

“Seorang wanita dimaksukkan kedalam neraka disebabkan seekor kucing yang ditambatnya, tidak diberi makanannya, dan tidak melepaskannya untuk mencari makanan di atas muka bumi.”

Namun menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, menjaga hubungan sesama jiran juga adalah sesuatu yang amat dititikberatkan dalam Islam sehingga Nabi Muhammad SAW pernah bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud:

“Tidak akan masuk syurga bagi seseorang itu apabila jirannya tidak merasa aman dengan gangguannya.”

Jelasnya, Nabi Muhammad SAW sering menekankan tentang pentingnya berbuat baik kepada jiran tetangga kerana sikap dan keperibadian seorang muslim yang sejati itu adalah mereka yang sentiasa berbuat baik kepada jiran tetangganya

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkongsi satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: “Dan jadilah jiran yang baik kepada jiran kamu, maka kamu akan menjadi Muslim sejati.”

Menjaga hubungan dengan jiran sangat dituntut dalam Islam.

Nabi Muhammad SAW sering menekankan tentang adab berjiran. (Gambar hiasan)

Bagi menjawab persoalan di atas, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, keutamaan sesuatu perkara wajib diberi dengan berpandukan keadaan di tempatnya.

“Sekiranya dengan memberi makanan tersebut akan mengganggu dan menyusahkan jiran tetangga disebabkan najis atau bau yang tidak menyenangkan, maka perbuatan memberi makan itu adalah tidak digalakkan bagi menjamin keharmonian hubungan antara jiran,” jelasnya.

Jadi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berpesan supaya individu harus menggunakan kebijaksanaan dalam mempertimbangkan kaedah yang terbaik untuk mengimbangi kedua-dua perkara tersebut supaya dapat menjaga hubungan antara jiran, selain pada masa yang sama memperoleh pahala dengan memberi makan kepada kucing jalanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram