Islam tegah lantik pemimpin berdosa


  • Mukmin
  • Jumaat, 10 Sep 2021

ANTARA syarat atau ciri-ciri individu yang boleh menduduki jawatan pemerintah tertinggi adalah seorang itu mestilah beragama Islam, matang dan mampu bersifat adil. — Gambar hiasan/Majoriti

UMAT islam ditegah daripada melantik barisan pemimpin tertinggi yang melakukan dosa besar seperti membunuh, berzina dan memakan riba serta mereka yang terus-terusan melakukan dosa kecil.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dalam bayan linnas siri ke 209 menyatakan, antara syarat atau ciri-ciri individu yang boleh menduduki jawatan pemerintah tertinggi adalah, seorang itu mestilah beragama Islam, matang dan mampu bersifat adil.

"Orang yang bersifat adil ialah orang yang tidak melakukan dosa besar seperti membunuh, berzina dan memakan riba.

"Dia juga tidak berterusan melakukan dosa kecil. Oleh itu pelantikan orang fasik, iaitu orang yang tidak memenuhi syarat-syarat adil adalah tidak sah," jelasnya.

Selain itu, seorang pemerintah tertinggi juga perlu mempunyai ilmu pengetahuan tentang hukum agama dan dalil-dalilnya, bijaksana serta mempunyai kefahaman yang menyeluruh dan mampu melaksanakan syariah Islamiyah.

Antara tanggungjawab terbesar pemerintah tertinggi adalah untuk memastikan hamba Allah bersatu dengan berpegang kepada agama Islam.

"Kedudukan pemerintah di kalangan umatnya pula adalah umpama paksi kepada sesuatu bulatan.

"Dialah yang akan merealisasikan perpaduan dan menjaga keutuhan melalui kepimpinannya.

"Jawatan tersebut amat perlu demi kestabilan undang-undang dan keharmonian keadaan yang akan turut dinikmati haiwan dan ternakan," jelasnya.

Pemerintah juga perlu memastikan hukum-hakam syarak dilaksanakan sepenuhnya dengan cara yang betul dan diterima oleh Allah.

"Sebahagian besar pelaksanaan hukum-hakam dalam syariat Islam tertakluk kepada kuasa pemerintah.

"Hukum-hakam itu tidak mungkin dapat dilaksanakan kecuali melalui kuasa dan arahan pemerintah, seperti menghakimi kes-kes mahkamah, melantik para penjaga, mengisytiharkan halangan (al-hajr) dan perang, memeterai perdamaian dan sebagainya.

"Oleh itu, bagi membolehkan hukum-hakam syarak dilaksanakan sepenuhnya dengan cara yang betul dan diterima oleh ALLAH SWT, mestilah ada pemerintah yang akan melaksanakan hukum-hakam itu dan memantau perlaksanaannya," tulisnya.

Pemerintah juga bertanggungjawab melindungi umat islam daripada kumpulan pelampau yang ingin menimbulkan ketidakstabilan dalam kalangan masyarakat.

"Mereka didorong oleh hawa nafsu atau fahaman-fahaman sesat yang berselindung di sebalik nama agama atau pemulihan masyarakat," jelasnya.

Namun begitu, Rasulullah SAW bersabda seperti yang disebut dalam riwayat al-Bukhari (6725) Muslim (1839) bahawa setiap umat islam wajib mendengar dan mentaati dalam perkara yang dia sukai dan perkara yang dia benci, kecuali sekiranya dia diperintahkan untuk melakukan maksiat, maka dia tidak boleh mendengar atau mentaati arahan pemerintah terbabit.

Nasihat yang sama turut dikongsikan Khalifah Abu Bakar RA dalam ucapan sulungnya yang menyebut "Hai manusia, sesungguhnya aku dilantik pemimpin dikalangan kamu dan aku bukanlah orang yang terbaik. Jika aku mentaati Allah, maka taatilah aku, sebaliknya jika aku derhak maka tiada ketaatan bagimu." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

pemimpin islam, fasik, dosa besar, dosa kecil