KESIHATAN wanita sering kali disalah erti dan kurang dikaji, malah istilah 'kesihatan wanita' itu sendiri kerap disempitkan hanya kepada aspek obstetrik dan ginekologi.
Hakikatnya, banyak komplikasi kesihatan yang dialami wanita melampaui sistem reproduktif, namun jurang penyelidikan menyebabkan banyak simptom gagal dikesan atau tersalah diagnosis.
Pakar perubatan mendedahkan bahawa mitos paling utama adalah kepercayaan bahawa gejala serangan jantung wanita adalah jelas dan serupa dengan lelaki.
BACA LAGI: Pereka kraf beri nafas baharu, tukar kertas kitar semula jadi seni manik unik, bergaya
BACA LAGI: Cukupkah sekadar berjalan 1km? Pakar dedah rahsia kecergasan realistik
Berbeza dengan lelaki yang sering mengalami sakit dada yang tajam, wanita cenderung merasai ketidakselesaan dada, sesak nafas, loya dan keletihan melampau.
Malah, punca serangan jantung pada wanita boleh melibatkan saluran darah kecil atau kekejangan arteri, bukan sekadar penyumbatan arteri utama.
Dari sudut sistem imun, wanita mempunyai tindak balas yang lebih kuat terhadap ancaman virus berbanding lelaki.
Walaupun itu membantu membersihkan jangkitan dengan lebih pantas, ia adalah 'pedang bermata dua' kerana keradangan yang berterusan meningkatkan risiko penyakit autoimun seperti lupus dan sindrom Sjogren, serta kebarangkalian lebih tinggi untuk menghidap 'long Covid'.
Mitos mengenai kitaran haid juga perlu diperbetulkan kerana ketiadaan haid atau kitaran tidak teratur bagi wanita yang aktif bersukan bukanlah perkara normal.
Ia mungkin petanda disfungsi tiroid, tumor pituitari, atau sindrom ovari polikistik (PCOS).
Kekurangan hormon estrogen akibat gangguan itu juga boleh mengakibatkan kerapuhan tulang dan risiko penyakit arteri koronari pada usia muda.
Bagi wanita yang telah melalui fasa menopaus, sebarang pendarahan faraj walaupun sedikit tidak boleh dianggap remeh.
Pakar menegaskan bahawa pendarahan pasca-menopaus adalah isyarat amaran awal bagi kanser endometrium.
Diagnosis awal amat kritikal memandangkan kanser jenis ini lebih mudah dirawat jika dikesan pada peringkat permulaan.
Mengenai pengambilan ubat-ubatan semasa hamil, tanggapan bahawa semua ubat adalah berbahaya merupakan satu kesilapan.
Menghentikan ubat untuk penyakit kronik seperti epilepsi, darah tinggi atau kemurungan tanpa nasihat doktor boleh memudaratkan ibu dan janin.
Keputusan perubatan haruslah berdasarkan imbangan antara risiko dan manfaat di bawah pemantauan pakar.
Satu lagi fakta yang sering diabaikan adalah kesan jangka panjang komplikasi kehamilan.
Masalah seperti diabetes gestasi dan pra-eklampsia mungkin hilang selepas bersalin, namun ia sebenarnya mendedahkan kecenderungan genetik wanita tersebut terhadap penyakit jantung, strok dan diabetes Jenis 2 di kemudian hari.
Isu inkontinens urin atau kencing tidak lawas juga dianggap tabu, walaupun ia menjejaskan hampir separuh daripada populasi wanita akibat kesan bersalin atau menopaus.
Ramai wanita memilih untuk menderita dalam diam kerana malu sedangkan masalah itu boleh dirawat dengan perubahan gaya hidup atau senaman ringkas jika dirujuk kepada pakar.
Sejarah penyelidikan perubatan juga menunjukkan berat sebelah, yang mana kebanyakan garis panduan ubat-ubatan dan gejala penyakit sebelum tahun 1990-an hanya berasaskan data subjek lelaki.
Ini menyebabkan simptom penyakit seperti apnea tidur dalam kalangan wanita sering terlepas pandang kerana mereka tidak menunjukkan tanda-tanda lazim seperti berdengkur kuat.
Akhir sekali, wanita dinasihatkan agar tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada keputusan doktor jika merasakan sesuatu yang tidak kena pada tubuh mereka.
Memandangkan gejala penyakit wanita sering kali dianggap sebagai gangguan psikologi atau remeh, pesakit disaran untuk lebih tegas dalam menyuarakan kebimbangan mereka dan mendapatkan pendapat kedua.
Memahami tubuh sendiri dan mempercayai gerak hati adalah langkah pertama dalam memastikan penjagaan kesihatan yang optimum.
Dengan akses maklumat yang tepat, wanita mampu menangkis mitos yang selama itu menghalang mereka daripada mendapat rawatan yang sewajarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
