TABIAT minum air boba setiap hari bagi menghilangkan tekanan kerja akhirnya membawa padah buat seorang wanita di Taiwan apabila disahkan mengalami kegagalan buah pinggang kronik sehingga terpaksa jalani rawatan dialisis sepanjang hayat.
Mangsa, Xiao Han, 26, yang bekerja sebagai kakitangan pejabat, dikejarkan ke hospital pada awal tahun ini dalam keadaan kritikal selepas mengalami sesak nafas yang teruk.
Pemeriksaan mendapati paru-parunya dipenuhi cecair, manakala paras toksin dalam darahnya berada pada tahap berbahaya sehingga memerlukan prosedur intubasi kecemasan.
Menurut laporan VNExpress, pemeriksaan lanjut mendapati Xiao Han menghidap proteinuria dan glomerulonefritis kronik, iaitu penyakit buah pinggang yang telah lama berlaku tetapi tidak pernah dirawat.
Keadaan buah pinggangnya yang rosak teruk menyebabkan Xiao Han tidak lagi mempunyai pilihan selain menjalani rawatan dialisis iaitu cuci darah sepanjang hayat.
Penyakit itu didakwa semakin parah kerana tidak pernah dikesan atau dirawat pada peringkat awal.
Pakar nefrologi di Taipei, Dr. Hong Yongxiang berkata, pesakit sebenarnya telah menunjukkan tanda-tanda awal masalah buah pinggang, namun semuanya dipandang ringan.
“Selama hampir enam bulan, pesakit mengalami pembengkakan pada bahagian wajah. Namun, menyangka ia kesan kurang tidur dan tekanan kerja,” katanya.
Tabiat tidak sihat jadi pencetus
Menurut Dr. Yongxiang, tabiat mengambil minuman manis seperti bubble tea setiap hari, digabungkan dengan pola tidur yang tidak teratur serta gaya hidup tidak sihat telah mempercepatkan kerosakan sehingga membawa kepada kegagalan buah pinggang.
Beliau berkata, budaya minum bubble tea yang sudah sebati dalam kehidupan masyarakat Taiwan kini dilihat sebagai satu ancaman kesihatan awam yang semakin membimbangkan, khususnya terhadap kesihatan buah pinggang dalam kalangan golongan muda.
Selain pengambilan gula yang berlebihan, Dr. Yongxiang menjelaskan bahawa kurang tidur secara kronik turut memberi tekanan berterusan kepada buah pinggang.
Dalam masa yang sama, pemakanan harian yang tinggi kandungan natrium dan fosfor, terutamanya daripada makanan diproses boleh memburukkan lagi fungsi buah pinggang.
Beliau turut menegaskan bahawa pengambilan protein secara berlebihan, khususnya dalam kalangan individu yang kerap ke gimnasium boleh memberi beban tambahan kepada buah pinggang.
Amalan penyalahgunaan ubat tahan sakit serta pengambilan suplemen tanpa kawalan perubatan juga dikenal pasti sebagai faktor risiko yang sering diabaikan.
“Kesemua faktor ini boleh mengurangkan aliran darah ke buah pinggang dan menyebabkan kerosakan struktur yang bersifat kekal jika berlaku dalam tempoh jangka panjang,” jelasnya.
Doktor berkata, penyakit buah pinggang tergolong sebagai penyakit berbahaya kerana simptomnya selalunya hanya muncul apabila lebih 70 peratus fungsi buah pinggang telah rosak.
“Tidak seperti beberapa organ lain, buah pinggang tidak mempunyai sistem sandaran. Apabila ia gagal berfungsi, kualiti hidup pesakit akan merosot secara mendadak,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
