PELAKON Hollywood, Jennifer Garner tampil berkongsi pengalaman paling sukar dilaluinya selepas bercerai dengan Ben Affleck, dengan mengakui perpisahan itu memberi kesan emosi yang mendalam terhadap dirinya dan keluarga.
Dalam temu bual bersama Marie Claire UK, Garner berkata, perceraian yang berlaku pada 2015 memaksanya belajar mengawal emosi dan menerima kenyataan hidup, sambil menegaskan bahawa perhatian dan tekanan daripada luar bukanlah perkara paling berat untuk dihadapi.
“Bukan cerita di luar yang menyukarkan. Yang paling berat ialah kenyataan bahawa kami berpisah,” katanya.
BACA LAGI: Niat nak kurus amal diet karnivor, pempengaruh usia 23 tahun alami masalah buah pinggang serius
Menurut wanita berusia 53 tahun itu, perkara paling menyakitkan ialah kehilangan kehidupan sebagai sebuah keluarga lengkap bersama Affleck, dengan pasangan itu dikurniakan tiga orang anak berusia antara 13 hingga 20 tahun.
“Berpisah sebagai sebuah keluarga dan kehilangan pasangan yang juga sahabat baik... itu yang paling sukar,” katanya.
Garner dan Affleck mendirikan rumah tangga pada Jun 2005 sebelum perceraian mereka dimuktamadkan pada 2018.
Selepas itu, Affleck kembali menjalinkan hubungan dengan bekas tunangnya, penyanyi dan pelakon Jennifer Lopez.
Mereka berkahwin pada 2022, namun perkahwinan tersebut berakhir apabila Lopez memfailkan perceraian tepat pada ulang tahun kedua perkahwinan mereka.
Perceraian Affleck dan Lopez disahkan selesai pada 6 Januari 2025.
Beberapa hari kemudian, laporan media hiburan mendakwa Affleck berada di rumah Garner ketika kebakaran besar melanda Los Angeles, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi.
Namun, sumber terdekat menegaskan hubungan mereka kini hanyalah sebagai rakan dan ibu bapa kepada anak-anak.
Menurut laporan Us Weekly, hubungan Garner dan Affleck kini berada pada tahap paling baik setakat ini.
“Hubungan mereka kini lebih matang dan kukuh sebagai rakan,” kata sumber itu, sambil menyifatkan Garner sebagai individu yang memberi kestabilan dalam kehidupan Affleck.
Dalam perkembangan lain, Garner dilaporkan menjalin hubungan dengan seorang CEO teknologi, John Miller.
Bagaimanapun, pelakon Alias itu memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai kehidupan peribadinya.
Sebaliknya, beliau hanya berkongsi bahawa kehidupannya kini dikelilingi dengan kasih sayang daripada orang terdekat. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
