SEORANG doktor berkongsi luahan emosi selepas terpaksa meninggalkan sambutan ulang tahun anaknya bagi menangani kes kecemasan pesakit kanak-kanak yang berada dalam keadaan kritikal.
Perkongsian itu dibuat menerusi satu hantaran di akaun Threads miliknya apabila beliau mengakui hanya mampu menangis secara senyap selepas pulang ke rumah, menyedari perasaan sedih dan bersalah yang dipendam sepanjang bertugas.
Menurut wanita berkenaan, kejadian berlaku ketika beliau sedang meraikan hari jadi anak di sebuah restoran bersama keluarga sebelum menerima panggilan kecemasan daripada pegawai perubatan.
"Kami baru nak buat pesanan kek, tiba-tiba saya terima panggilan daripada pegawai perubatan.
"Ada pesakit kanak-kanak tiba dengan komplikasi hati dan cecair terkumpul di otak," kongsinya menambah, situasi itu membuatkannya berada dalam dilema serta-merta.
Tambahnya, beliau terpaksa meninggalkan keluarga selepas menjelaskan keadaan kepada suami dan anak susulan pesakit berada dalam keadaan tidak stabil dan memerlukan rawatan segera.
Kongsinya lagi, beliau tidak sempat melayan perasaan sedih kerana fokus sepenuhnya tertumpu kepada usaha menyelamatkan dan menstabilkan pesakit terbabit.
"Fikiran masa itu hanya satu, saya perlu stabilkan pesakit. Selepas itu, terus buat rondaan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), wad biasa dan Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU)," katanya sambil mengakui tanpa disedari tugasan berlarutan sehingga hampir tengah malam sebelum beliau selesai dan pulang ke rumah.
Namun, perasaan sedih dan bersalah kembali menghantui sebaik sahaja beliau berada di dalam kereta.
Dalam hantaran sama, doktor itu mengakui dihimpit rasa bersalah dan cuba untuk terus bersangka baik dengan ketentuan ALLAH meskipun perasaan sebagai seorang ibu sukar untuk diketepikan.
"Saya rasa semakin berjaya sebagai doktor, semakin saya gagal sebagai ibu dan isteri," luahnya.
Beliau bagaimanapun menegaskan tidak menyalahkan takdir, sebaliknya menganggap situasi itu sebagai kelemahan diri sendiri dan sekadar meluahkan perasaan seperti menulis diari.
Doktor tersebut turut menitipkan doa agar pengorbanannya menyelamatkan nyawa anak-anak orang lain menjadi asbab ALLAH melindungi anak-anak serta ahli keluarganya sendiri.
Sebaik pulang ke rumah, beliau terus berbaring di sisi anaknya dan memohon maaf kerana terpaksa meninggalkan sambutan hari istimewa itu.
Anaknya bagaimanapun menerima keadaan tersebut dengan baik dan menyatakan sambutan itu tetap menyeronokkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
