DI bawah teduhan pohon mangga di sebuah perkampungan di barat laut Senegal, Khady Sene tekun menyusun bilah-bilah rumbia bagi memulakan anyaman bakul baharu. Beliau merupakan antara puluhan wanita di Kampung Mborine, Senegal yang mewarisi kemahiran seni kraf itu secara turun-temurun.
Walaupun wanita-wanita itu jarang meninggalkan kampung halaman, hasil tangan mereka telah merentasi benua sehingga menjadi produk hiasan mewah yang tular di pasaran Amerika Syarikat dan Perancis.
Namun, di sebalik populariti tersebut, timbul isu eksploitasi dan persaingan tidak sihat. Kebanyakan bakul gaya Senegal yang dijual di gedung besar Barat sebenarnya dihasilkan di Vietnam yang merupakan pengeksport utama produk tiruan.
BACA LAGI: Waspada punca kebakaran di rumah, ambil tahu langkah pencegahan serta tindakan kecemasan
BACA LAGI: Inovasi 'Solar Mama' bawa cahaya, terangi kediaman penduduk pulau
Bagi bakul asli buatan tangan Senegal pula, harganya melonjak tinggi di luar negara, namun keuntungan tersebut gagal dinikmati oleh golongan penganyam. Bakul tradisional Wolof itu diperbuat daripada rumbia yang diikat menggunakan jalur plastik berwarna-warni, menggantikan penggunaan serat palma pada zaman dahulu.
Khady mendedahkan bahawa produk mereka, daripada bakul penampi sehingga bakul pakaian bersaiz besar, sering dijual pada harga terlalu rendah di pasaran domestik sehingga tidak mampu menampung kos pembuatan.
Sebagai perbandingan, sebuah bakul pakaian besar mungkin dijual pada harga 13,000 CFA (RM95) di pasar tempatan melalui orang tengah, namun produk yang sama boleh mencecah harga lebih AS$150 (RM618) di pasaran antarabangsa.
Menyedari ketidakadilan itu, seorang arkitek kacukan Gambia-Senegal, Fatima Jobe, tampil mengambil inisiatif selepas terkejut menemui pemborong di Vietnam yang mendakwa sebagai pengeksport terbesar bakul "gaya Senegal" di dunia.
Beliau kemudian menubuhkan Imadi, sebuah kedai bakul di Dakar yang kini bekerjasama dengan lebih 260 penganyam wanita di 15 buah kampung bagi memastikan mereka mendapat pulangan yang adil.
Jobe memperkenalkan struktur gaji yang lebih tinggi, melarang buruh kanak-kanak, serta menyalurkan sebahagian keuntungan untuk membantu sekolah-sekolah di kampung terlibat bagi meningkatkan taraf hidup komuniti.

Ndoye menjual bakul-bakul Senegal di kedainya sendiri yang terletak di Ndiakhate Ndiassane.
Hasil usaha Jobe, produk anyaman itu mula mendapat tempat di gedung peruncitan terkemuka Amerika Syarikat, Anthropologie, malah pernah dipaparkan dalam rancangan realiti popular, Selling Sunset.
Walaupun mendapat permintaan tinggi, Jobe mengakui Senegal masih kekurangan infrastruktur dan sokongan kerajaan untuk bersaing dengan kuasa besar pengeksport kraf dari Asia seperti Vietnam.
Di sebuah gerai pinggir lebuh raya berhampiran Ndiakhate Ndiassane, seorang peniaga, Fatim Ndoye, turut mengakui margin keuntungan yang sangat kecil di pasaran tempatan walaupun permintaan daripada pelancong tetap ada.
Bagi penduduk kampung, pekerjaan itu adalah talian hayat ekonomi. Di Kampung Thiembe, seorang balu, Adama Fall, bergantung sepenuhnya kepada upah menganyam untuk menyara keluarga selepas ramai golongan muda di kawasan itu hilang ketika cuba berhijrah ke luar negara secara haram.
Khady dan rakan-rakannya berharap pihak berkuasa dapat mewujudkan ekosistem yang lebih menyokong pengusaha kraf tempatan agar seni warisan identiti nasional ini mampu menjamin masa depan mereka.
Warisan itu terus dipelihara apabila kanak-kanak di kampung tersebut mula belajar menganyam secara santai, sekali gus memastikan kemahiran turun-temurun itu tidak luput ditelan zaman. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
