SEPANJANG musim panas lalu, pempengaruh yang aktif berkongsi rutin penjagaan rambut, Mekalah El-Amin meluangkan hingga dua jam sehari mengurut kulit kepala dengan harapan dapat merangsang pertumbuhan dan ketebalan rambut.
Menggunakan jari atau alat pengurut elektrik, beliau mengurut secara perlahan-lahan sambil menukar posisi supaya setiap bahagian kulit kepala diberi perhatian.
Menurutnya, usaha itu dibuat sebagai kandungan media sosial dan juga eksperimen peribadi yang dikongsi di akaun TikTok miliknya.
BACA LAGI: Bukan tanda kalah, jaga maruah isteri antara 5 sebab suami pilih diam banding 'berhujah'
BACA LAGI: Mekap tebal, bulu mata palsu, berkanta lekap dibenarkan atau tidak untuk foto MyKad?
Trend penjagaan kulit kepala kini semakin mendapat perhatian, terutama dalam usaha mengurangkan kegatalan, kekeringan dan masalah rambut menipis.
Ramai pengguna beralih kepada tutorial TikTok, serum mahal yang mengandungi peptida, ceramide dan asid hyaluronik, malah mengunjungi spa kepala untuk analisis folikel rambut menggunakan kamera mikroskopik.
Ada juga yang sanggup ke Asia untuk mencuba rawatan tersebut.
Industri kecantikan melihat kulit kepala sebagai ‘fokus baharu’.
Menurut firma analitik pasaran Spate, carian dan kandungan berkaitan scalp serum meningkat 77 peratus antara September 2024 hingga Ogos 2025 berbanding tahun sebelumnya.
Istilah scalp massager pula naik 57.7 peratus, manakala scalp treatment meningkat 4.3 peratus.
Bagaimanapun, data terperinci tentang penggunaan produk penjagaan kulit kepala masih terhad kerana pasaran ini masih kecil.
Kajian YouGov pada Ogos lalu mendapati 41 peratus rakyat Amerika Syarikat (AS) yang mengalami perubahan rambut menggunakan serum atau minyak, walaupun masalah rambut serius hanya menjejaskan sebahagian kecil pengguna.
Pakar dermatologi berlesen, Dr. Maryanne Senna berkata, kulit kepala hanyalah lanjutan daripada kulit wajah.
Namun, mereka yang benar-benar mengalami keguguran atau penipisan rambut disaran mendapatkan rawatan perubatan daripada pakar bertauliah, bukan sekadar bergantung kepada produk komersial.
Pakar dermatologi Johns Hopkins, Dr. Crystal Aguh mengakui rangsangan kulit kepala boleh meningkatkan aliran darah dan membantu pertumbuhan rambut, namun mengurut sehingga dua jam disifatkan sebagai berlebihan.
El-Amin sendiri kini hanya melakukannya seminggu sekali.
Pengaruh media sosial turut memainkan peranan besar.
Pempengaruh kecantikan, Amy Chang mendakwa rutin fokus kulit kepala membantu meningkatkan ketumpatan rambutnya.
Beliau turut membeli serum khas di Korea Selatan yang mengandungi ‘spicules’ untuk penyerapan lebih mendalam.
Dr. Crystal berkata, tarikan terhadap trend ini berpunca daripada kepentingan rambut terhadap keyakinan dan imej sosial seseorang.

Produk penjagaan kulit kepala bukan keperluan asas, sebaliknya pilihan tambahan bagi mereka yang mahu mencubanya. — Gambar hiasan/Freepik
Seiring permintaan, kebanyakan jenama penjagaan rambut utama kini menawarkan serum kulit kepala, daripada jenama farmasi hingga jenama premium.
Namun, Senna menegaskan individu tanpa masalah kulit kepala sebenar tidak perlu terikut-ikut dengan trend ini kerana penggunaan berlebihan boleh menyebabkan iritasi dan keradangan.
Bagi seorang ahli farmasi, Brandy Welch, penjagaan kulit kepala cukup sekadar mencuci secara berkala.
Katanya, produk penjagaan tambahan ibarat aksesori yang mana tidak wajib, tetapi ada yang memilih untuk memilikinya.
Populariti spa kepala juga melonjak, terutama spa gaya Jepun yang tular di TikTok.
Di New York, rawatan spa kepala boleh mencecah lebih RM1,200 bagi satu sesi, lengkap dengan analisis kulit kepala dan rawatan herba khas.
Walaupun rawatan ini memberi kesan relaksasi, Senna mengingatkan ia tidak boleh menggantikan rawatan perubatan sebenar bagi mereka yang mengalami masalah kulit kepala serius.
Katanya, risiko terbesar trend ini mungkin hanya melibatkan perbelanjaan pengguna. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
