Satu-satunya budak terselamat tragedi Sungai Korok jadi anak angkat Nurulhidayah, berangkat tunai umrah bersama penaja


  • Bonda
  • Selasa, 09 Dis 2025

Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkongsi momen keberangkatan Qishi ke tanah suci pada Selasa.

ANAK kecil berusia 12 tahun, Putri Qisya Nur Izzat, yang sebelum ini mendapat perhatian seluruh negara selepas kehilangan enam ahli keluarga dalam tragedi di Sungai Korok, Jitra, Kedah berangkat menunaikan umrah hasil tajaan penjelajah Grand Slam Negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin (Qobin).

Keberangkatan Qisya dari KLIA turut ditemani anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid yang berkongsi momen tersebut di Instagram.

“Berkesempatan menyantuni anak saya Qisya, Farah Fauzana dan Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin serta rombongan di KLIA pagi ini. Semoga dilindungi sepanjang pemusafiran, dikurniakan kesihatan terbaik dan umrah yang mabrur. Yaa Allah, kabulkan doa-doa kami… Aaminn Yaa Rabb,” tulisnya.

BACA LAGI: Tak sempat rakam foto perkahwinan, pasangan legenda Hong Kong abadikan momen berbusana tradisi Bhutan selepas 16 tahun penantian

BACA LAGI: Dihalau dari kafe kerana anak autistik buat bunyi batuk, Che Nom kongsi pengalaman bercuti di Switzerland

Qisya menjadi yatim piatu sekelip mata susulan kejadian 7 Julai lalu apabila kenderaan dinaiki ibu bapa serta empat adik-beradiknya ditemui terapung di Sungai Korok.

Kesemua mereka meninggal dunia, manakala Qisya terselamat kerana berada di rumah neneknya di Jerlun ketika kejadian.

Tragedi itu mencetuskan gelombang simpati dan bantuan daripada orang ramai termasuk tokoh masyarakat.

Dalam video TikTok sebelum ini, Qobin memaklumkan beliau menaja bantuan pendidikan RM500 sebulan untuk Qisya sehingga berumur 17 tahun.

“Insya-Allah, mulai Ogos ini sehingga Qisya umur 17 tahun, uncle akan bantu dari segi pendidikan… RM500 setiap bulan. Uncle akan lawat Qisya selalu. Tahniah dapat masuk MRSM,” katanya.

Selain tajaan umrah untuk Qisya dan ibu saudaranya, Qobin turut menyediakan penginapan percuma di resort miliknya, Himalaya Camping Resort di Gopeng, Perak.

Pada 9 Julai lalu, Datuk Nurulhidayah turut menziarahi Qisya di Jerlun dan menyifatkan dirinya semakin dekat dengan kanak-kanak tersebut.

“Kenalkan anak baru saya, Putri Qisya. Alhamdulillah ALLAH permudahkan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram