PENYANYI dan pelakon China, Jin Qiaoqiao baru-baru ini mendedahkan penyesalannya terhadap keputusan silam untuk mendapatkan suntikan filler pada wajah.
Dalam temu bual bersama media China, artis berusia 50 tahun itu berkata, ketika membawakan watak Puteri Kongque dalam drama Journey To The West pada tahun 1999, dia merasakan wajahnya terlalu cengkung untuk tampil cantik di depan kamera.
Ketika masih di usia 20-an, dia akhirnya memilih untuk mencuba filler iaitu satu tindakan yang kini dianggapnya sebagai keputusan naif.
Keputusan itu akhirnya mengundang kritikan orang ramai apabila pipinya kelihatan terlalu bengkak akibat suntikan.
“Saya hanya mahu kelihatan cantik, lalu dengan bodohnya saya menyuntik dua ketulan filler. Lebih teruk, saya tidak pergi ke klinik yang betul dan akhirnya terpaksa berjumpa beberapa pakar untuk melarutkan filler itu,” katanya.
Jin mengakui proses memulihkan wajahnya supaya kembali kepada bentuk asal mengambil masa dan usaha yang besar.
Belajar daripada kesilapan lalu, Jin menasihati orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya melakukan perubahan kepada wajah.
“Penampilan semula jadi adalah yang terbaik,” ujarnya.
Perubahan positif pada wajahnya kini mendapat pujian ramai warga maya yang mengagumi bagaimana dia berjaya mengekalkan rupa paras semula jadinya.
Walaupun sudah mencecah 50-an, Jin berkata, dia tetap optimis mengenai proses penuaan dan tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang negatif.
“Walaupun saya sudah berusia 50-an, saya masih rasa seperti 25 di dalam hati,” katanya.
Kenyataannya itu menarik perhatian warga maya dengan ada yang memuji hikmah kata-katanya, manakala yang lain kagum dengan kecantikannya yang masih terserlah.
“Sememangnya, wajah asli adalah yang paling cantik,” tulis seorang pengguna.
“Orang lain sibuk nak kecilkan muka, tapi dia pula sebaliknya. Cantik betul, buat orang cemburu,” kata seorang lagi. — The Star/ANNDREA A. WEBBER
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
