“BAYANGKAN hati yang hancur… tetapi tangan yang sama tetap menyiapkan suami untuk bernikah dengan wanita lain.”
Itulah realiti yang terpaksa ditelan oleh seorang wanita, UmmuSyarha, apabila dia sendiri yang membantu bagi menyolek suaminya sebelum lelaki itu bernikah lagi buat kali kedua.
Dalam hantaran di laman TikTok, Ummu buat pertama kalinya berkongsi perjalanan hampir dua tahun mendepani kehidupan bermadu, yang disifatkannya sebagai tempoh penuh ujian.
“Ya, poligami. Sakit? Ya, sakit… teramat sakit. Seakan mati kurasa, seakan dunia ini berhenti," katanya.
Menurutnya, fasa awal dimadukan merupakan detik paling mencabar dalam hidup.
“Apa saja yang tidak kurasakan dan lalui? Tapi begitulah ujian kehidupan. Tugas kita menjalani takdir-Nya," katanya.
Walaupun pada waktu itu segala-galanya terasa seakan terhenti, Ummu tetap memaksa dirinya bangkit perlahan demi menjaga diri dan memastikan emosi anak-anak tidak terganggu.
Beliau menjelaskan bahawa tempoh hampir dua tahun itu membentuk pelbagai proses penyembuhan, termasuk belajar menyayangi diri, mencari hikmah dan melatih hati menjadi lebih tenang.
“Aku belajar menjadi versi yang lebih baik. Belajar menjadi orang yang tenang, ibu yang tenang agar anak-anak tidak menjadi mangsa," katanya.
Walaupun mengakui kesakitan itu masih wujud, Ummu berkata dirinya kini lebih matang mengurus perasaan tersebut.
“Masih rasa sakitkah? Ya, masih. Dan aku sudah pun bersahabat dengannya," katanya.
Menurutnya, perjalanan menerima poligami akhirnya membuka ruang untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.
“Kedukaan, kesakitan dan kelukaan adalah sebahagian ujian hidup. Ini adalah proses mencapai cinta-Nya," katanya.
Hantaran berkenaan kemudian mengundang ratusan komen yang majoritinya memberi sokongan.
Seorang wanita, Fatin Nadia, yang baru dua bulan melalui fasa yang sama, memohon nasihat daripada Ummu mengenai cara mencari kekuatan.
“Salam sis… macam mana sis dapat kekuatan? Bantu saya sis," katanya.
Pengguna lain, Azaza menganggap bahawa ujian berat sering menjadi jalan untuk seseorang membina ketabahan agar mendapat syurga ALLAH.
“Bila dalam doa kita meminta syurga ALLAH, di dunia datang ujiannya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
