Suami reda isteri maut ketika mencari rezeki untuk keluarga, sempat 'video call' sebelum terkorban dalam kebakaran Hong Kong


  • Cinta
  • Rabu, 03 Dis 2025

Khabar pemergian isterinya yang meninggal dunia dalam tragedi kebakaran Hong Kong hanya diketahui dua hari selepas kejadian berlaku. 

SUASANA hiba menyelubungi rumah keluarga almarhumah Erawati, 34, Pekerja Migran Indonesia (PMI) yang terkorban dalam tragedi kebakaran Wang Fuk Court, Tai Po, Hong Kong. 

Erawati, yang juga ibu kepada seorang anak, menghabiskan detik terakhir hidupnya dengan panggilan video kepada suami, Suyitno untuk memohon maaf sebelum nyawanya diragut asap tebal.

Di rumah keluarga Erawati, sanak saudara dan jiran tidak putus-putus datang memberi penghormatan. 

Selama bertahun-tahun bekerja di Hong Kong, Erawati menjadi harapan keluarga.

Suaminya, Suyitno masih sukar menerima hakikat. Khabar pemergian isterinya hanya diterima dua hari selepas kejadian berlaku. 

“Kami dapat tahu daripada agensi. Dua hari selepas kebakaran baru kami terima berita…,” kata Suyitno pada Selasa.

Pada malam kejadian iaitu Rabu lepas, Erawati sempat menghubungi suaminya. 

Di tengah kepulan asap dan suasana kelam-kabut, dia masih berusaha menenangkan hati suaminya melalui panggilan video hampir 30 minit.

“Dia minta maaf… kata tak kuat nak tahan asap. Saya cuma mampu suruh dia bertahan, sedangkan saya sendiri tak tahu nak buat apa,” ujar Suyitno.

Suyitno berkata, talian tiba-tiba terputus dan meskipun dia cuba menelefon semula berkali-kali, panggilannya tetap tidak dijawab.

“Waktu tu saya cuma mampu berdoa. Telefon berbunyi, tapi dia tak angkat. Saya dah rasa lain… tapi tetap berharap,” katanya.

Harapan itu musnah apabila berita rasmi tentang pemergian Erawati disampaikan dua hari kemudian.

“Dia pergi ketika mencari rezeki untuk kami," katanya. 

Walaupun perit menerima kenyataan, Suyitno cuba reda.

“Apa boleh buat… ini takdir. Saya ikhlas. Dia pergi ketika berusaha untuk keluarga. InsyaAllah, dia tenang di sana,” tuturnya.

Untuk rekod, pemimpin Hong Kong, John Lee telah mengarahkan penubuhan sebuah jawatankuasa bebas bagi menyiasat punca kebakaran dahsyat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 151 nyawa.

Pada Rabu lepas, tujuh daripada lapan blok menara di kompleks perumahan Wang Fuk Court yang sedang menjalani pengubahsuaian besar-besaran terbakar.

Hasil siasatan awal mendapati jaring pelindung yang digunakan di sekitar bangunan tidak menepati piawaian kalis api.

Kebakaran ini merupakan yang paling maut di bandar itu dalam lebih 70 tahun dan jumlah korban dijangka meningkat lagi ketika pihak berkuasa meneruskan operasi mencari dan mengeluarkan mayat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram