'Kalau anak mengadu kebas kaki cepat ke hospital', ibu dedah tanda awal anak MRSM kena sindrom GBS


  • Bonda
  • Rabu, 03 Dis 2025

Robbiatul Addawyiah kini bertarung melawan sindrom Guillain-Barré.

HATI ibu mana yang tidak luluh apabila melihat anak yang sebelum ini aktif dan ceria, kini terlantar tidak berdaya di unit rawatan rapi (ICU). 

Itulah detik-detik berat yang sedang dilalui Rina Mohamad, ibu kepada pelajar Maktab Rendah Sains (MRSM), Nurul Robbiatul Addawyiah yang kini bertarung melawan sindrom Guillain-Barré (GBS).

Melalui hantaran di Facebook, Rina berkongsi bagaimana perubahan mendadak keadaan anaknya bermula dengan kebas pada kaki sebelum merebak ke betis dan tangan.

“Pada mulanya saya ingatkan kebas biasa sebab dia menjalani latihan silat setiap hari. Sampai satu tahap dia jatuh sebab kaki tak boleh balance… Bila saya sampai Pulau Pinang, terpaksa papah seperti orang yang baru belajar berjalan. Hati emak mana tak sebak,” coretnya.

BACA LAGI: Dari bilik jenazah: Sukarelawan dedah kisah isteri dizalimi suami hingga dijangkiti HIV

BACA LAGI: Mengadu kerap sakit pinggang, belakang setiap kali datang bulan, doktor jelas puncanya

Menurut Rina, Robbiatul kini ditidurkan dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor.

“Setiap malam sebelum ni, pukul 12 mesti dia call. ‘umi… kakak dah habis baca Al-Mulk, kakak nak study sekejap… I love umi, I miss you.'

"Semalam saya macam terdengar dia panggil 'umi!’… Baru saya tersedar, anak saya dah ditidurkan di ICU,” luahnya.

Kini, setiap pagi yang dahulunya dipenuhi panggilan anaknya, berganti dengan bacaan Yasin dan doa.

Dalam satu rakaman yang dimuat naik, kelihatan Rina masuk melawat anaknya di ICU sambil menahan kesedihan.

“Umi tak boleh teman sebab ICU hanya boleh melawat sahaja. Kuatkan umi untuk melangkah setiap hari. ‘Kakak… umi datang ni’,” katanya.

Dalam hantaran terbaharu, Rina berkongsi gambar Robbiatul yang masih bertarung.

“Ya ALLAH… Dia sedang berjuang. Kau pulihkan urat sarafnya dan kembalikan senyumnya. Dia selalu minta maaf, takut susahkan saya. ALLAH… kuatnya hati anak ini,” tulis Rina.

Walaupun dalam keadaan tidak berdaya, Robbiatul tetap cuba menyampaikan mesej buat ibunya.

“Saya angkat jarinya suruh dia tulis… Dia kata nak tulis ‘I love u umi’… Saya kata, kakak kuat sangat sayang. Nanti kita pergi makan sushi ya,” kongsi Rina yang cuba menenangkan anaknya.

Rina turut memaklumkan bahawa wakil MARA dan pihak sekolah, termasuk Pengetua MRSM Balik Pulau berhasrat melawat Robbiatul. 

"Warden dan guru-guru cakap, Robbiatul dikenali sebagai pelajar yang suka membantu dan ceria," katanya. 

Rina dalam masa sama menasihatkan ibu bapa agar segera membawa anak ke hospital jika mengadu kebas kaki atau gejala mencurigakan.

"Saya mohon ibu bapa bila anak mengadu kebas kaki yang sampai ke betis cepat-cepat ke hospital ya," katanya. 

Menjengah ke ruangan komen, warga maya turut berkongsi pengalaman masing-masing mengenai penyakit jarang berlaku itu, selain memberi kata-kata semangat dan doa.

“Semoga ALLAH memberikan kesembuhan… guru saya pernah bertarung dengan sindrom ini,” komen seorang pengguna, Syed Akhmal.

Ada juga ibu bapa lain yang pernah menghadapi situasi sama, berkongsi kisah untuk memberi kekuatan kepada Rina.

"Jangan putus asa Rina, saya dah lalui semua ini bulan lepas. Anak saya pada mulanya di diagnosed penyakit rare tetapi saya mohon doa dari anak-anak tahfiz setiap malam baca 30 juzuk alquran. Minta juga orang-orang yang berada di depan baitullah untuk berdoa dan hari-hari sedekah atas nama anak kita," kata Nor Zihan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram