Marsha jadi 'suara Malaysia', alunkan lagu, tarian Borneo pada festival budaya di Sydney


  • Sukses
  • Sabtu, 29 Nov 2025

Marsha Milan mewakili Malaysia di pentas antarabangsa menerusi Malaysia Fest 2025 yang berlangsung di Tumbalong Park, Sydney, Australia baru-baru ini. 

PENYANYI tanah air, Marsha Milan membuktikan kehebatannya apabila mewakili Malaysia di pentas antarabangsa menerusi Malaysia Fest 2025 yang berlangsung di Tumbalong Park, Sydney, Australia baru-baru ini. 

Marsha membuka tirai dengan mempersembahkan lagu-lagu popular seperti Hening Rindu dan Cinta. 

Namun, sorakan paling hangat tercetus ketika membawakan lagu-lagu tradisional Borneo seperti Sumandak Sabah, Pelangi Pasti dan Nalan Nalan.

"Saya sangat bangga dapat memperkenalkan budaya Sabah dan muzik Borneo kepada khalayak antarabangsa.

"Melalui album Misompuru dan lagu-lagu ini, saya harap penonton dapat merasai keunikan warisan kita,” kata Marsha.

BACA LAGI: Mahu selamatkan perkahwinan? Bersedia untuk ‘adjust’, ‘upgrade’ dan ‘downgrade’

BACA LAGI: Disangka sudah meninggal, wanita terlantar 2 tahun kejutkan semua apabila ‘bangun’ di dalam keranda

Sorakan paling hangat tercetus ketika beliau membawakan lagu-lagu tradisional Borneo seperti Sumandak Sabah, Pelangi Pasti dan Nalan Nalan.

Bukan sekadar menyanyi, anak jati kelahiran Sabah itu juga amat menitikberatkan elemen persembahan. 

Dengan bantuan penari daripada Wandie Space Art Performance dan kolaboratif bersama Saerah dalam gaya kontemporari-tradisional, setiap langkah dan gerak tari di pentas Sydney membawa mesej jelas iaitu muzik Malaysia bukan sahaja universal, tetapi kaya dengan identiti tempatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Fest, Syahmi Ismail, pemilihan Marsha tidak dibuat secara kebetulan. 

“Artis yang dipilih bukan sekadar terkenal, tetapi mampu menjadi ‘Suara Malaysia’ di pentas antarabangsa.

"Marsha berjaya menonjolkan warisan budaya kita dengan cara segar dan relevan,” ujarnya.

Malaysia Fest 2025 merupakan perayaan seni dan platform penting bagi diaspora Malaysia memperkenalkan budaya, muzik dan identiti negeri kepada dunia. 

Tahun ini, festival meriah dengan penyertaan komuniti dari pelbagai negeri termasuk Sabah dan Sarawak, menjadikan ia perayaan budaya terbesar diaspora Malaysia di Sydney.

Bagi Marsha, detik paling berharga adalah melihat penonton dari pelbagai latar belakang menyanyikan lagu-lagu Borneo bersama-sama. 

“Itu pencapaian sebenar bagi seorang artis apabila muzik dan budaya kita mampu menyentuh hati semua orang, tanpa mengira jarak atau sempadan,” tambahnya.

Untuk rekod, festival budaya tahunan ini menarik lebih 20,000 pengunjung, termasuk komuniti Malaysia yang menetap di Sydney, serta pelancong antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram