Elemen 'fringe' litupi bentuk badan, Fuzana Mokhtaza kongsi inspirasi di sebalik rekaan


  • Gaya
  • Jumaat, 21 Nov 2025

Menurut Fuzana (kanan), blazer organza antara rekaan paling mencabar dalam koleksi Fuzana Mokhtaza di FMA 2025. — Instagram/@byfuzanamokhtaza, @nanamokhtaza

SEDERHANA, chic dan stylish. Itu apa yang boleh dirumuskan koleksi Fuzana Mokhtaza di hari kedua Fashionably Modest Asia (FMA) 2025.

Dengan menampilkan kira-kira 20 rekaan, jenama fesyen tempatan itu bukan sahaja menepati konsep fesyen modest atau sederhana, malah mempamerkan reka bentuk yang kreatif dan elegan.

Menurut pereka dan pengasasnya, Fuzana Mokhtaza, koleksi terlibat banyak mengambil inspirasi daripada arkib dan koleksinya terdahulu, namun dipadankan dengan elemen baharu untuk mengekalkan identiti jenama.

BACA LAGI: Pasangan Asia-Eropah tergamam, hospital Brazil rujuk bayi ikut warna kulit, bukan nama

BACA LAGI: Palak guna 'suara' kumpul dana, diiktiraf Guinness World Records biayai lebih 3,800 pembedahan jantung kanak-kanak

"Koleksi ini mengambil kira semua aspek supaya semuanya sederhana. Sederhana bukan sekadar stigma memakai jubah, tetapi bagaimana kita menutup badan melalui rekaan," katanya ketika ditemui Majoriti selepas pertunjukan koleksinya di FMA 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Rabu.

Memilih warna-warna yang dianggap sederhana seperti putih, hitam dan coklat lembut, koleksinya banyak bermain dengan fringe, tulle dan kilauan.

Kata Fuzana, setiap elemen yang diketengahkan mempunyai tujuan tertentu dalam mengekalkan konsep sederhana.

"Fringe dan tulle direka untuk menutup bentuk badan dengan elegan, manakala kilauan digunakan secara minima supaya koleksi tetap sederhana tetapi bergaya," jelasnya.

Pemilihan warna juga diberi perhatian teliti untuk mengekalkan kesederhanaan koleksi.

Beliau turut mengakui konsep fesyen sederhana bukan tugasan mudah kerana setiap elemen dalam koleksi termasuk warna, fabrik, potongan, siluet dan perincian perlu diambil kira supaya penampilan tetap bergaya tanpa mengabaikan kesederhanaan.

"Membuat rekaan berkonsepkan sederhana bukan mudah. Ia memerlukan keseimbangan antara bersederhana dan tetap chic.

"Kami mahu koleksi ini nampak moden, elegan dan kemas, tetapi pada masa sama menutup badan sepenuhnya," jelas Fuzana.

Elemen fringe dalam koleksi Fuzana Mokhtaza direka untuk menutup bentuk badan dengan elegan. — Instagram/@byfuzanamokhtaza

Mengulas lanjut, Fuzana berkongsi bahawa rekaan paling mencabar dalam koleksinya adalah blazer daripada fabrik organza.

"Blazer organza memerlukan lining tambahan kerana jika digunakan sendirian, fabriknya terlalu nipis dan nampak tak kemas. Itulah cabaran terbesar saya,” jelasnya yang turut menyifatkan rekaan itu sebagai salah satu kegemarannya dalam koleksi berkenaan.

Mengakhiri temu bual, Fuzana menjelaskan maksud modest bagi dirinya.

"Bagi saya, modest adalah bersederhana. Bersederhana dari setiap sudut, termasuk pemilihan warna.

"Saya tidak akan memilih warna yang terlalu terang kerana modest bukan untuk menarik perhatian ramai.

"Ia lebih kepada fesyen yang tenang. Itulah yang saya maksudkan dengan bersederhana," ujarnya.

FMA adalah sebuah platform yang bertujuan menampilkan dan meraikan fesyen sederhana dengan pendekatan moden.

Acara ini juga berperanan sebagai penghubung kreativiti dan peluang, menyatukan bakat pereka tempatan dengan penonton dari dalam dan luar negara.

FMA 2025 yang berlangsung dari 18 hingga 20 November di Pavilion Damansara Heights itu menandakan acara sulung platform ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram