SYARIKAT barang kemas, Poh Kong melancarkan siri terbaharu di bawah koleksi Anggun bertemakan Pesona Tanjung pada Khamis di Shah Alam, Selangor.
Koleksi itu diilhamkan daripada bunga rasmi negeri Selangor, iaitu bunga tanjung atau nama saintifiknya Mimusops elengi.
Majlis yang berlangsung di fasiliti pembuatan utama syarikat itu diserikan lagi dengan keberangkatan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin bagi merasmikan pelancaran tersebut.

Koleksi Anggun menampilkan lima inspirasi bunga termasuk rekaan terbaharu Pesona Tanjung. — Poh Kong
Baginda tampil anggun menggayakan baju kurung rona putih bersulam halus dengan potongan lengan kembang payung serta kain bermotifkan bunga rona merah jambu lembut.
Gayanya dilengkapkan dengan tudung bawal rona sama dengan kain serta selendang putih dan rantai mutiara.
Menariknya, koleksi Pesona Tanjung menampilkan sembilan kelopak bunga, simbolik sembilan daerah yang terdapat di sekitar Selangor.
Ia turut menjadi simbol kesucian, perpaduan dan ketabahan nilai yang mencerminkan keharmonian antara seni budaya Malaysia dan kepakaran Poh Kong dalam pertukangan moden.
Pelancaran itu juga menandakan komitmen syarikat terlibat terhadap inovasi tempatan dengan kemudahan pembuatan berteknologi tinggi di Shah Alam yang berperanan sebagai pusat utama reka bentuk dan pengeluaran sejak ditubuhkan pada 2001.
Menurut Pengarah Urusan Poh Kong Jewellery Manufacturer Sdn Bhd, Christine Choon, koleksi Anggun mencerminkan keindahan serta kekuatan Asia melalui rekaan yang diinspirasikan daripada warisan dan seni tempatan.
"Menjelang ulang tahun ke-50 Poh Kong pada 2026, kami berbangga terhadap legasi yang dibina bersama para tukang tempatan yang menjadi teras kejayaan syarikat," katanya.
Majlis turut diserikan dengan pertunjukan barang kemasnya yang menampilkan lima inspirasi bunga di bawah koleksi Anggun termasuk rekaan terbaharu Pesona Tanjung.
Diasaskan pada 1976 dan disenaraikan di Bursa Malaysia sejak 2004, Poh Kong ialah rangkaian peruncitan barang kemas terbesar di Malaysia dengan pelbagai jenama di bawah naungannya termasuk Anggun, Tranz, Happy Love dan The Art of Auspicious. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
