
KULIT sihat dan rambut kuat tidak datang hanya daripada produk luaran, sebaliknya bermula daripada pemakanan seharian.
Makanan yang betul bukan sahaja membekalkan tenaga, tetapi juga mempengaruhi keseimbangan hormon dan kesihatan kulit secara menyeluruh.
Menurut Pakar Diet, Syaza Lyana Idris, amalan memakan sayur-sayuran berwarna-warni adalah asas penting untuk kecantikan dari dalam.
BACA LAGI: Lepas satu, satu kes berlaku, ibu bapa gusar, cadang pasang CCTV di sekolah, institusi pengajian
Syaza merupakan pengasas bersama pusat diet JomSayHeart yang beroperasi di Cyberjaya. — Instagram/@syazanutritionist
Rahsia warna dalam sayur
Setiap warna dalam sayuran membawa manfaat berbeza yang saling melengkapi fungsi tubuh.
"Kita perlu makan semua warna kerana setiap warna ada fungsi berbeza. Warna merah tinggi lycopene yang bantu melembabkan kulit, manakala warna oren tinggi vitamin C yang penting untuk kolagen," katanya.
Selainitu, makanan berwarna ungu seperti terung dan beri mengandungi anthocyanin yang berfungsi sebagai antioksidan semula jadi bagi mengurangkan keradangan serta memperlahankan tanda penuaan.
"Apabila makan pelbagai 'warna', kita bagi tubuh kombinasi lengkap nutrien yang menyokong kulit, hormon dan tenaga," jelasnya yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana dan Sarjana Muda dalam Pemakanan dan Kesihatan Komuniti, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.
Setiap warna sayuran membawa khasiat tersendiri yang saling melengkapi untuk menyokong kesihatan kulit, rambut dan tubuh secara menyeluruh. — Gambar hiasan/Freepik
Cerminan dalaman tubuh
Syaza yang juga pakar pemakanan bertauliah dalam bidang kesuburan dan kehamilanberkata, keadaan rambut dan kulit sering mencerminkan apa yang berlaku di dalam tubuh.
Jika kedua-duanya kelihatan lemah, itu mungkin tanda kekurangan nutrien penting.
"Masalah rambut gugur atau rapuh biasanya berpunca daripada kekurangan protein, biotin dan zink," kata beliau.
Bukan itu sahaja, malah zink turut memainkan peranan dalam keseimbangan hormon, terutama bagi wanita dengan sindrom ovari polisistik (PCOS).
"Mereka yang ada PCOS selalunya kekurangan zink dan lebih cenderung mengalami masalah kulit serta rambut,"jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar makanan kaya zink seperti tiram dan kerang dijadikan sebahagian daripada diet mingguan.
Air detoks boleh diamalkan sebagai minuman tambahan, namun tidak wajar dijadikan pengganti pemakanan sebenar. — Gambar hiasan/Freepik
Detoks mitos?
Mengulas tentang trend 'detoks kulit dari dalam', anak jati Selangor itu menjelaskan, istilah detoks sering disalah tafsir.
Katanya, tubuh manusia sebenarnya sudah menjalankan proses detoks setiap hari tanpa perlu bergantung kepada minuman atau diet khas.
"Tubuh kita memang detoks sendiri melalui pernafasan, tidur dan sistem penghadaman.
"Apabila kita bernafas, berpeluh atau tidur awal, semuanya membantu proses pembersihan semula jadi badan," kata ibu kepada dua orang anak itu.
Beliau menambah, kekurangan serat dan air boleh mengganggu fungsi detoks tubuh.
"Kalau tak cukup sayur dan makanan tinggi serat, sistem penghadaman jadi perlahan dan toksin susah keluar," jelasnya menambah air, detoks boleh diamalkan, namun bukan sebagai pengganti pemakanan sebenar.
"Kalau nak campur buah dalam air boleh saja, tapi jangan tapis seratnya. Lebih baik makan buah terus kerana serat itu yang bantu tubuh membuang sisa dengan lebih lancer.
:Yang penting, kena cukupkan serat dan pastikan membuang setiap hari. Itulah asas sebenar detoks," ujar Syaza yang sudah berkecimpung dalam dunia kesihatan selama lebih sembilan tahun.
Kombinasi makanan yang betul
Berkongsi lanjut, katanya cara makanan digabungkan juga boleh mempengaruhi keberkesanan penyerapan nutrien dalam tubuh.
“Sesetengah nutrien berfungsi lebih baik apabila diambil bersama. Contohnya, zat besi lebih mudah diserap apabila digabungkan dengan vitamin B dan C," jelasnya.
Beliau menambah, pengambilan makanan seperti sayur hijau bersama sumber protein seperti daging atau ayam, kemudian disertai minuman yang kaya vitamin C seperti air limau boleh meningkatkan penyerapan zat besi.
Namun, beliau mengingatkan agar tidak mengambil minuman berkafein atau tenusu sejurus selepas makan kerana ia boleh menghalang penyerapan sesetengah vitamin dan mineral penting.
"Ramai yang suka minum teh ais atau latte selepas makan. Tapi minuman berkafein dan tinggi kalsium boleh mengganggu penyerapan vitamin B dan C. Sebaiknya, pisahkan waktu pengambilan," katanya.
Diet IF bantu kawal selera dan berat badan, tetapi hasilnya tetap bergantung pada pilihan makanan harian. — Gambar hiasan/Freepik
Trend diet
Bercerita lanjut, beliau turut mengulas tentang trend diet popular seperti puasa berselang atau sinonim dengan intermittent fasting (IF) dan diet ekstrem lain.
Katanya, diet hanyalah cara mengawal pengambilan makanan, bukan jalan pintas untuk kekal cantik atau sihat.
"IF boleh membantu kawal berat atau insulin, tapi tetap bergantung pada jenis makanan. Kalau masih ambil makanan bergoreng dan tinggi lemak, hasilnya sama saja," katanya.
Tambahnya, banyak diet tular seperti fad diet mungkin menurunkan berat dengan cepat, tetapi turut menyebabkan kehilangan otot.
Jika otot merosot, metabolisme jadi perlahan dan berat mudah naik semula.
Diet terlalu ketat juga boleh menyebabkan kekurangan nutrien penting yang menjejaskan kulit, rambut dan keseimbangan hormon.
"Sayur dan buah adalah sumber karbohidrat baik. Bila kurang serat, kesihatan usus dan emosi turut terjejas," jelas Syaza.
Sebagai penutup, beliau menyarankan snek sihat seperti buah, yogurt rendah gula dan kekacang.
Untuk sarapan, pilih kombinasi protein dan serat seperti ubi keledek dengan yogurt dan buah beri atau nasi lemak bersama telur rebus dan ulam dalam kuantiti sederhana.
"Mulakan dengan sayur dahulu sebelum nasi dan lauk untuk kawal gula dan kekal bertenaga," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram