
SIAPA sangka menggabungkan Art TV dengan karya seni sebenar di dinding galeri rumah boleh menjadi sesuatu yang menyeronokkan?
Trend itu semakin mendapat perhatian dalam kalangan peminat dekorasi dalaman kerana ia berjaya menyatukan fungsi teknologi dan keindahan seni dalam satu ruang yang harmoni.
Art TV seperti Samsung The Frame atau Hisense Canvas bukan sekadar skrin televisyen, tetapi juga hiasan dinding yang mampu meniru rupa karya seni sebenar.
BACA LAGI: Nasihat Sasterawan Negara jentik hati ZRA untuk lebih menghargai jasa isteri
BACA LAGI: Almari penuh baju tapi masih gelisah, tak tahu apa nak pakai? Anda mungkin penghidap sindrom Hamlet
Apabila dimatikan, televisyen itu menampilkan imej lukisan, foto atau cetakan digital sekali gus menjadikannya sebahagian daripada susun atur dinding galeri yang bergaya tanpa mencacatkan estetik keseluruhan ruang.
Namun, ramai masih tertanya-tanya bagaimana sebenarnya cara untuk memastikan Art TV kelihatan sebati dengan bingkai dan lukisan lain di dinding?
Bagi menjawab persoalan itu, seorang pereka dalaman, Maxine Brady yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang reka bentuk, acara dan televisyen berkongsi pandangannya.
Art TV disusun kemas bersama karya seni sebenar mencipta dinding galeri penuh harmoni.
Menurut Maxine, populariti Art TV meningkat seiring dengan gaya hidup moden yang menuntut ruang rumah lebih fleksibel dan estetik.
"Dengan konsep ruang terbuka yang semakin digemari, tiada siapa mahu skrin hitam besar menjadi fokus utama di ruang tamu yang sudah dihias cantik.
"Kini, rumah kita juga lebih berfungsi, siang hari mungkin digunakan untuk bekerja atau bersantai, manakala malam pula untuk menonton filem.
"Jadi, televisyen yang boleh bersembunyi di sebalik karya seni memberi keseimbangan visual lebih menenangkan," katanya
Beliau turut menambah bahawa masyarakat kini semakin peka terhadap kesejahteraan mental dan visual.
"Skrin besar yang menonjol boleh terasa mengganggu.
"Tapi apabila disamarkan sebagai karya seni, ia mencipta suasana yang lebih lembut dan tenang.
"Bila kita sudah melabur banyak masa serta wang dalam ubah suai rumah, tentulah kita tak mahu satu kotak hitam besar merosakkan pemandangan," jelasnya.
Gaya minimalis moden dengan Art TV yang menyatu dalam dekorasi ruang tamu.
Menurut Maxine, kuncinya adalah dengan menganggap televisyen seperti satu lagi bingkai seni.
"Pilih bingkai luar televisyen yang serasi dengan bingkai karya seni lain di sekelilingnya.
"Banyak model Art TV kini hadir dengan bingkai boleh tukar warna atau bahan, jadi anda boleh sesuaikan dengan tema rumah," jelasnya.
Seterusnya, beliau menyarankan agar rancang susun atur dinding terlebih dahulu di lantai termasuk ukuran televisyen sebelum menggantungkan apa-apa.
"Susun semuanya di atas lantai dan ambil gambar bila dah puas hati. Gunakan foto itu sebagai panduan ketika menggantung. Ini cara paling mudah untuk pastikan keseimbangan visual."
Maxine turut menegaskan bahawa keseimbangan adalah faktor utama.
"Gabungkan bingkai pelbagai saiz supaya televisyen tak kelihatan mendominasi. Jarakkan setiap bingkai dengan konsisten untuk kesan yang tenang dan elakkan menggantung televisyen di tengah-tengah secara tepat kerana itu boleh membongkar rahsia bahawa ia sebenarnya televisyen."
Satu lagi tip penting, katanya, ialah menyembunyikan wayar dan sambungan.
"Apabila semua kabel disusun rapi, televisyen akan kelihatan benar-benar sebati dalam galeri seni anda."
Reka bentuk moden tanpa wayar berserabut mengekalkan suasana tenang di ruang tamu.
Bagi Maxine, Art TV bukan sekadar alat hiburan, tetapi lambang bagaimana teknologi boleh menyatu dengan seni dan reka bentuk rumah moden.
"Art TV menyelesaikan banyak masalah kerana ia membenarkan skrin hilang dalam dekorasi, fleksibel untuk ditukar imej mengikut mood serta menghalang teknologi daripada menguasai ruang.
"Ia memberi kita keselesaan moden tanpa mengorbankan gaya dan itu sesuatu yang saya panggil situasi menang-menang," luahnya.
Menggabungkan Art TV dengan karya seni sebenar bukan lagi sesuatu yang mustahil atau pelik.
Dengan perancangan susun atur yang betul, pilihan bingkai serasi dan sedikit kreativiti, teknologi boleh menjadi sebahagian daripada ekspresi seni rumah anda.
Seperti kata Maxine, kuncinya mudah "anggap televisyen anda sebagai bingkai seni yang hidup."
Apabila seni serta teknologi boleh hidup bersama di dinding yang sama, rumah bukan sekadar tempat tinggal tetapi ia kanvas bagi menceritakan gaya serta personaliti anda. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram