Salur RM120 juta tangani kemiskinan bandar, gelandangan, kerajaan terus perkasa perusahaan sosial


  • Maya
  • Jumaat, 10 Okt 2025

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu selaras dengan strategi RMK13 bagi memperkukuh daya tahan pemain Sektor Ketiga.

KERAJAAN meneruskan komitmen memperkasakan perusahaan sosial dalam usaha menangani pelbagai isu rakyat di akar umbi termasuk kemiskinan bandar, gelandangan dan kebajikan golongan rentan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu selaras dengan strategi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memperkukuhkan daya tahan pemain Sektor Ketiga dan memperluas peluang menjana pendapatan.

Misalnya, menarik perhatian ramai apabila Beg Belanjawan 2026 yang dibawa beliau ketika pembentangan di Dewan Rakyat pada Jumaat dihasilkan oleh perusahaan sosial Heart Treasures dan Tanoti menggunakan bahan kitar semula seperti sarung tangan nitril dan fabrik terbuang.

Beg berkenaan merupakan hasil tangan anak muda orang kelainan upaya (OKU), Anthony Liew You Chung, simbol keberhasilan perusahaan sosial dalam memberi peluang pekerjaan kepada golongan istimewa.

“Kerajaan mendukung peranan perusahaan sosial yang membantu rakyat, terutama golongan rentan di akar umbi menambah pendapatan,” kata beliau juga merupakan Menteri Kewangan.

Antara langkah utama diumumkan termasuk:

1. Pengecualian cukai pendapatan untuk perusahaan sosial dilanjutkan hingga 2028.

2. Peruntukan RM120 juta disediakan sebagai geran padanan untuk yayasan GLIC dan GLC bekerjasama dengan kerajaan menangani isu kemiskinan bandar, gelandangan dan membina keupayaan bekas penghuni rumah perlindungan JKM untuk berdikari.

Belanjawan MADANI 2026 merupakan belanjawan keempat di bawah pimpinan Anwar dan yang pertama dalam kerangka RMK13, menjadi asas utama pelan pembangunan negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

Belanjawan ini menekankan pendekatan inklusif dan berasaskan kemanusiaan, selaras dengan hasrat kerajaan membina ekonomi yang mampan serta memastikan tiada rakyat tercicir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram