Demi sesuap nasi, ibu tunggal 'jadi' badut tepi jalan sambil kendong anak usia 8 bulan


  • Bonda
  • Khamis, 09 Okt 2025

Video tersebut jelas menunjukkan kesungguhan seorang ibu yang enggan berputus asa dalam mencari nafkah. — Instagram/@thelasthournews

SEBUAH video yang tular di media sosial baru-baru ini menarik perhatian ramai apabila memaparkan seorang ibu yang difahamkan ibu tunggal mencari rezeki di tepi jalan sambil mengendong bayinya yang berusia kira-kira lapan bulan.

Dalam video yang dimuat naik oleh @thelasthournews itu, wanita terlibat mengenakan solekan menyerupai badut dilihat melakukan aksi seperti di sarkas dekat tepi jalan bagi menarik perhatian orang ramai.

Walaupun kelihatan berisiko, tindakannya jelas menunjukkan kesungguhan seorang ibu yang enggan berputus asa dalam mencari nafkah.

BACA LAGI: Koleksi baharu imbau nostalgia zaman kanak-kanak, Dr Cardin jemput Bella Astillah, Nadhir Nasar jadi penghias kempen

BACA LAGI: Murid bukan sekadar menghafal, sistem KP2026 ubah cara belajar pra sekolah lebih kreatif dan dwibahasa

Menurut perkongsian yang tersebar di media sosial, wanita itu dikatakan hidup bersendirian selepas ditinggalkan suami.

Tanpa sumber pendapatan tetap, beliau mengambil keputusan untuk melakukan persembahan jalanan demi mendapatkan sedikit wang bagi menampung kehidupan dirinya dan anak kecilnya.

Apa yang membuat ramai tersentuh adalah kegigihannya untuk berusaha sendiri tanpa meminta simpati atau belas kasihan orang lain.

Dalam keadaan serba kekurangan, beliau tetap memilih untuk berdikari dan bekerja dengan cara yang termampu.

Video tersebut dikatakan menerima pelbagai reaksi pengguna media sosial yang kagum dengan semangat juang wanita berkenaan.

Ramai menyifatkannya sebagai contoh kekuatan seorang ibu tunggal yang sanggup melakukan apa sahaja demi masa depan anaknya.

Walaupun belum dapat dipastikan lokasi sebenar kejadian dan asal usul wanita itu, kisahnya mendapat perhatian luas serta dikongsi di pelbagai platform.

Ia menjadi peringatan bahawa di sebalik setiap senyuman seorang ibu, tersimpan kisah perjuangan yang tidak mudah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram