'Senang cari bahan kalau nak masak', unik susun atur dapur usahawan kosmetik ala kedai runcit


  • Hias
  • Jumaat, 03 Okt 2025

Bagi Nabihan, susun atur ala kedai runcit menjadikannya lebih bersemangat untuk memasak. — Instagram/@nurulnabihanazmi

USAHAWAN kosmetik, Nurul Nabihan Azmi menjadi perhatian vselepas berkongsi rakaman suasana dapurnya yang kelihatan unik dan berbeza daripada kebiasaan di media sosial.

Apa yang menarik, ruang dapurnya disusun rapi sehingga menyerupai sebuah kedai runcit.

Video dimuat naik di TikTok itu mendapat sambutan ramai kerana menampilkan konsep penyimpanan barangan dapur yang mudah, praktikal dan tersusun.

BACA LAGI: Dari ladang ke almari pakaian, fesyen lestari SukkhaCitta angkat martabat wanita desa

BACA LAGI: Nina, suami timang bayi lelaki, selamat bersalin secara czer

Menurut Nabihan, idea tersebut tidak pernah dirancang, sebaliknya tercetus apabila beliau sering memasak setiap hari.

Bagi memudahkan kerja, beliau memilih mempamerkan stok barang keperluan di rak terbuka berbanding menyimpannya di dalam laci.

"Hari-hari Bihan masak, rasa macam nak kena display depan muka. Baru senang dan bila nak tambah barang pun kita tahu apa yang habis. Tak perlu nak cari dalam drawer lagi," katanya.

Beliau turut menjelaskan, konsep itu menjadikan dapur lebih mesra pengguna kerana barangan keperluan mudah dicapai dari pelbagai arah.

"Apabila nak masak, senang cari bahan-bahan," ujar beliau dalam video yang mendapat tontonan lebih 800,000 itu.

Dalam perkongsian lain, Nabihan berkata, cara susun atur tersebut membuatkan dirinya lebih teruja untuk masuk ke dapur setiap hari.

“Macam kat kedai, masuk sehari tiga kali pun tak puas. Memang best nak masuk, semangat kalau kita susun macam ni,” katanya.

Bagi Nabihan, kelebihan utama susun atur sedemikian dapat memudahkan ahli keluarga mencari barang tanpa perlu bertanya.

"Tetamu kalau nak datang pun tak perlu bergaduh dengan suami untuk minta dia beli barang di kedai runcit sebab rumah pun dah macam kedai runcit," katanya berseloroh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram