
PENAMPILAN langsing melampau Park Min-young pada sidang media drama terbaharunya Confidence Queen bukan sahaja mencuri tumpuan, malah menimbulkan tanda tanya besar tentang keadaan kesihatannya.
Mengenakan gaun halter-neck yang menonjolkan sosok ramping, pelakon berusia 39 tahun itu hadir bersama rakan pelakon Park Hee-soon dan Joo Jong-hyuk serta pengarah Nam Ki-hoon.
Namun, bukannya hanya projek drama baharu yang menjadi bualan, sebaliknya tubuhnya yang kelihatan terlalu kurus mencetuskan perdebatan hangat dalam talian.
Ada yang mempersoalkan sama ada Min-young benar-benar sihat.
Ramai peminat meluahkan rasa bimbang apabila melihat tulang bahu dan lengan Min-youn jelas menonjol, malah ada yang mempersoalkan sama ada beliau benar-benar sihat.
Melalui hantaran di media sosial sehari selepas acara itu, Min-young menjelaskan bahawa penurunan berat badannya berpunca daripada dua faktor utama iaitu diet untuk persiapan watak dan jadual kerja yang padat.
“Saya sedang berdiet dengan cara sihat untuk watak Han Seol-ah dalam siri Siren.
"Tetapi, baru-baru ini saya kehilangan lebih banyak berat kerana jadual kerja yang terlalu intensif. Jangan risau, saya tetap makan tiga kali sehari,” tulisnya.
Beliau turut berkongsi beberapa foto wajah terbaharunya dan meminta peminat menantikan tayangan projek drama yang bakal ditayangkan, termasuk Confidence Queen dan Siren.
Bukan kali pertama
Min-young bukan asing dengan transformasi fizikal demi seni lakonannya.
Pada penghujung 2023, penonton terkejut apabila gambar rasmi drama Marry My Husband memperlihatkan tubuhnya yang sangat cengkung.
Untuk membawa watak Kang Ji-won, seorang pesakit kanser, berat badannya pernah mencecah hanya 37 kilogram.
Ketika itu, beliau mengakui hanya mampu bertahan dengan makanan dalam jumlah kecil dan minuman ion, malah tidak mengesyorkan sesiapa untuk meniru cara tersebut.
3 cara diet
Walaupun setiap kali menegaskan bahawa kesihatannya terkawal, media Korea dan antarabangsa merekodkan beberapa kaedah diet pernah diamalkan Min-young demi menjayakan watak.
Diet sihat, tiga hidangan penuh sehari
Untuk persiapan drama Siren, Min-young menjelaskan bahawa beliau tetap menjaga pemakanan secara seimbang.
Beliau memastikan makan pagi, tengah hari dan malam, namun pengurangan berat badan tetap berlaku kerana jadual penggambaran yang ketat.
Diet ekstrem, epal dan minuman elektrolit atau isotonik
Semasa melakonkan watak dalam Marry My Husband, beliau pernah mengamalkan diet ketat selama tiga hari berturut-turut dengan hanya mengambil epal dan minuman elektrolit atau isotonik.
Kaedah ini dilakukan sebagai proses detox sambil disertai rutin senaman intensif.
Bergantung ion drinks, makanan kecil
Dalam fasa awal penggambaran watak pesakit kanser, Min-young mendedahkan bahawa beliau hanya mampu makan sedikit setiap kali dan bergantung kepada minuman ionik untuk mengekalkan tenaga.
Namun, beliau sendiri mengakui cara ini tidak sihat dan tidak patut dicontohi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram