Popularkan kembali bunga raya, setiap kelopaknya mewakili prinsip Rukun Negara


  • Hias
  • Ahad, 31 Ogos 2025

Bunga raya bukan sekadar hiasan laman, tetapi simbol keindahan, perpaduan dan identiti bangsa Malaysia.

SABAN tahun menjelang Ogos, rakyat Malaysia bukan sahaja mengibarkan Jalur Gemilang, malah turut menghiasi kediaman dan ruang awam dengan simbol-simbol kebangsaan yang menyemarakkan rasa cinta tanah air.

Antara lambang paling dekat di hati rakyat ialah bunga raya, flora rasmi negara sejak 1960 yang diangkat sebagai bunga kebangsaan.

Keindahan lima kelopak yang melambangkan prinsip Rukun Negara menjadikannya bukan sekadar tumbuhan hiasan, bahkan cerminan perpaduan, kekuatan dan identiti bangsa.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Orang luar ada Snow White, kita pula ada Bidasari', semangat patriotik dorong Mardiati kumpul poster filem lama

BACA LAGI: [VIDEO] 'Blind box' nasi lemak, skirt kain pelikat jadi idea kreatif label lokal rai Hari Kebangsaan

Bagi Pakar Bunga Negara, Azmy Osman, bunga raya memiliki keistimewaan yang tersendiri berbanding bunga lain.

"Kalau orang tengok, bunga raya ini nampak dramatik. Dia bukan sekadar cantik, tapi betul-betul ada karakter," katanya kepada Majoriti.

Jika dulu bunga raya hanya sinonim dengan warna merah, kini terdapat pelbagai warna lain seperti kuning, ungu, putih, bahkan merah jambu.

Malah, hasil kacukan moden melahirkan ribuan spesies dengan kelopak berlapis-lapis yang menyerupai bunga peony.

"Ada lebih 7,000 spesies bunga raya. Setiap satunya ada keunikan tersendiri," jelas Azmy.

Bunga raya turut membawa makna yang lebih mendalam kerana lima kelopaknya melambangkan lima prinsip Rukun Negara.

Selain itu, tabiat pertumbuhan bunga raya yang merimbun jika ditanam rapat-rapat melambangkan semangat perpaduan rakyat Malaysia.

"Kalau dijadikan pagar hiasan, dia bukan saja menutup pandangan, tapi juga jadi simbol masyarakat yang bersatu padu," ujar Azmy.

Bagi peminat tanaman, bunga raya sebenarnya sangat mudah dijaga.

Ia memerlukan cahaya matahari sekurang-kurangnya 70-80 peratus dan siraman air yang sederhana.

Namun, ia kurang sesuai untuk ditanam di dalam rumah kerana tanpa cahaya yang cukup, bunga akan kuncup dan cepat layu.

"Kalau nak tanam dalam pasu boleh, cuma pertumbuhannya tak begitu besar. Paling sesuai, tanam di luar rumah sebagai pagar atau hiasan laman," tambah beliau.

Azmy menyeru agar bunga raya terus dipopularkan melalui pameran, pertandingan dan media sosial.

Menariknya, bunga raya bukan hanya untuk ditanam kerana pereka fesyen, penggiat seni dan pereka hiasan dalaman kini semakin banyak menggunakan motif bunga raya dalam rekaan baju, kek, hiasan meja makan, malah seni kertas dan kain.

"Kalau kita tanam penuh di halaman atau hias dengan bunga raya pada majlis keramaian, ia boleh jadi fenomena baharu.

"Bayangkan bunga raya menggantikan lily di meja makan, cantik dan unik," kata Azmy penuh semangat.

Selain kecantikan, bunga raya juga pernah digunakan dalam perubatan tradisional.

Air rebusan bunga ini dikatakan mampu menyejukkan badan ketika demam panas, malah ada yang meramas kelopaknya untuk dijadikan sapuan di kepala.

Walaupun khasiatnya memerlukan kajian lebih lanjut, amalan ini masih dikenang sebagai sebahagian daripada warisan masyarakat dahulu.

Azmy turut menyeru agar bunga raya terus dipopularkan melalui pameran, pertandingan dan media sosial.

"Kadang-kadang orang tak sedar bunga raya ini sebenarnya cantik. Bila ditunjukkan, baru mereka nampak nilai estetiknya," katanya.

Sempena bulan kemerdekaan, bunga raya wajar diangkat bukan sahaja sebagai bunga kebangsaan, tetapi juga sebagai penyeri landskap di setiap rumah.

Sama ada ditanam hidup atau dijadikan dekorasi artificial, bunga raya tetap mencipta rasa bangga dan indah pada pandangan mata.

"Bayangkan rumah penuh bunga raya berwarna-warni, pasti kita akan rasa bangga melihatnya. Itu tandanya kita menghargai warisan kita sendiri," pesan Azmy. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram