
SETIAP kejayaan besar sering digambarkan dengan angka bernilai jutaan, rumah mewah atau beg tangan berjenama.
Namun, semakin ramai usahawan global mula menyuarakan sisi jujur tentang realiti di sebalik kekayaan bahawa ia tidak semestinya memberi kebahagiaan.
Begitulah yang dikongsikan oleh Huda Heidi Kattan, pengasas empayar kecantikan Huda Beauty, apabila beliau mengimbau semula perjalanan hidupnya di puncak kejayaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Gotong-royong hias 'mini muzium Hari Kebangsaan', semangat patriotik terus mekar
BACA LAGI: Keindahan perhiasan warisan, warna-warni perpaduan negara hiasi bazar sempena Hari Kebangsaan
Menerusi perkongsian jujurnya di Instagram, Huda mengakui pengalaman peribadinya memberi pengajaran besar tentang erti kekayaan sebenar.
"Tiada apa-apa yang akan membuat anda merasa lebih kosong daripada berfikir bahawa wang akan memenuhi kosongan anda dan kemudian menyedari bahawa ia tidak," jelas Huda.
Beliau mendedahkan bagaimana dirinya suatu ketika dahulu percaya bahawa kejayaan perniagaan dan kemewahan mampu menutup kekurangan dalam diri.
Malah, ketika syarikatnya dinilai bernilai kira-kira RM5.6 bilion, Huda sepatutnya merasa penuh dan puas.
Namun realitinya jauh berbeza sama sekali.
Huda berkongsi bahawa membeli-belah dan mengumpul barangan mewah tidak pernah memberi kepuasan sebenar.
Ia hanya mencipta kitaran berulang untuk mencari lebih banyak, tanpa pernah benar-benar mengisi ruang kosong di dalam hati.
"Saya melihat semua barang yang saya beli, saya melihat seorang wanita yang hilang," katanya mengimbas detik paling rapuh dalam hidupnya.
Daripada pengalaman itu, beliau akhirnya menyedari bahawa menjadi kaya bukanlah tentang angka mahupun harta, tetapi tentang mengenali diri sendiri, merasa cukup, serta mencintai siapa diri anda.
Bagi Huda, kekayaan sebenar adalah keupayaan menerima diri apa adanya, tanpa memerlukan pengesahan daripada sesiapa.
Ia adalah keyakinan bahawa diri sudah cukup baik, walau di mana sahaja kita berada.
"tu kaya. Itu adalah sesuatu yang wang tidak boleh beli," tegasnya.
Huda juga mengingatkan bahawa wang hanyalah alat untuk memudahkan kehidupan atau merealisasikan impian, tetapi ia tidak sepatutnya menjadi sumber utama kebahagiaan.
Huda menutup perkongsiannya dengan menekankan betapa pentingnya masyarakat berbincang secara jujur tentang isu itu, terutama di era media sosial yang sentiasa menekan individu untuk kelihatan sempurna.
"Jika anda mencintai wang, itu bagus untuk anda. Tetapi jika perkongsian ini berkesan dengan anda, beritahu saya kerana saya rasa ada banyak yang perlu diselesaikan di sini."
Kisah Huda Kattan menjadi cerminan bahawa definisi kaya tidak semestinya datang daripada angka dalam akaun bank, tetapi daripada keamanan jiwa yang tidak ternilai harganya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram