
SEJAK usianya baru tiga bulan, hidup Nur Mardhiah Shahadah sudah dihimpit ujian yang tidak tertanggung bagi seorang anak kecil.
Kanser mata menjadi permulaan, sebelum penyakit lain satu demi satu menyerang tubuh kecilnya hingga kini disahkan menghidap enam penyakit kronik.
Kini, pada usia lapan tahun, Mardhiah bukan sahaja bergantung pada rawatan hospital, malah terpaksa hidup dengan alat bantuan pendengaran, usus yang lemah dan bergantung penuh kepada susu khas bernilai ribuan ringgit setiap bulan.
“Anak saya ada Chromosome 13q deletion syndrome yang dikesan ketika umur dia lima bulan. Penyakit jarang jumpa itu menjadi punca utama kanser dan komplikasi kronik lain yang anak saya tanggung sampai sekarang,” kata ibunya, Nur Natasya kepada Majoriti.
Rawatan tak pernah henti
Menurut wanita berusia 29 tahun itu, Mardhiah sudah menjalani kemoterapi dan berpuluh kali pembedahan sejak bayi.
Namun setiap kali ketumbuhan dibuang, ia tumbuh semula.
“Tahun ini doktor cakap mereka dah tak boleh buat apa-apa lagi. Ketumbuhan tetap tumbuh balik walaupun dibuang. Sekarang telinga kanan langsung tak berfungsi, sebelah kiri hanya tinggal 50 peratus saja,” katanya.
Selain kanser mata, Mardhiah turut menghidap chronic otitis media (COM), glanution tissue dalam telinga, cholesteatoma, chronic lung disease dan chronic lymph node disease.
Kos susu dan pampers cecah RM1,700 sebulan
Disebabkan masalah usus, Mardhiah hanya mampu makan sedikit makanan pejal. Selebihnya, keperluannya dipenuhi melalui susu khas.
“Nasi dia boleh makan sikit saja, tapi tak banyak. Itu sebab dia bergantung pada susu khas. Bila campur dengan lampin, kosnya cecah RM1,700 sebulan,” jelas Natasya.
Natasya masih bersyukur kerana mempunyai suami yang sanggup berusaha keras demi dirinya dan anak-anak.
Suami berkorban, buat dua pekerjaan serentak
Di sebalik ujian besar itu, Natasya masih bersyukur kerana mempunyai suami yang sanggup berkorban, Muhammad Iqmal, 29 tahun, yang memikul tanggungjawab menjaga keluarga.
“Saya dulu ibu tunggal. Kahwin dengan suami yang sekarang waktu Mardhiah umur dia baru 5 bulan. Walaupun bapa tiri tetapi suami saya baik sangat.
"Suami sayalah yang support saya dan anak-anak. Siang dia kerja di kolam udang, malam pula sambung kerja di kedai sate kami di Klebang Jaya. Kedai tu baru buka dua minggu. Saya tolong buka kedai petang, kemudian balik jaga anak-anak. Suami teruskan sampai tutup pukul 11 malam,” katanya.
Lebih mencabar, kehidupan mereka diuji apabila satu-satunya kereta yang dimiliki rosak sejak empat bulan lalu.
Setiap kali temujanji hospital, mereka hanya bergantung pada motor pinjaman daripada rakan suaminya.
Selain menjaga anak sakit, Natasya sendiri sedang berjuang dengan kemurungan major, psikosis dan tekanan pasca trauma (PTSD). Dia kini menjalani rawatan di Hospital Tanjung Rambutan, Ipoh, Perak.
"Saya tak boleh nak bekerja kerana penyakit ini. Saya segan nak minta bantuan orang, tapi demi anak saya kena.
"Kalau ada yang sudi bantu sama ada susu khas atau kenderaan untuk ke hospital, itu sudah cukup besar untuk ringankan beban kami,” katanya.
Biarpun dihimpit derita sejak kecil, Natasya tetap menganggap Mardhiah sebagai anak luar biasa.
“Dia kuat, dia hebat. Walaupun dah lalui berpuluh operasi, dia masih mampu tersenyum. Saya bangga dengan Mardhiah,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berkunjung ke kedai Ayangma Sate, Klebang Jaya (sebelah Petron Klebang, depan Shameer Corner), Ipoh, Perak yang dibuka bermula 5 petang hingga 11 malam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram