'Umur dah 30 tak berani nak kahwin kerana masih tanggung, urus keluarga', Dr Norhafizah titip cari pasangan ideal


  • Cinta
  • Ahad, 27 Jul 2025

Wanita digalakkan berdoa agar dapat dipertemukan dengan jodoh yang baik

BUKAN semua orang bujang memilih untuk melambatkan perkahwinan kerana kehendak sendiri. 

Ada yang terpaksa menunda soal jodoh kerana terlalu lama mendahulukan keluarga seperti menyara ibu bapa, membantu adik-beradik dan memikul beban yang tidak pernah diminta.

Namun, sampai bila perlu menangguhkan soal cinta dan perkahwinan?

Itulah persoalan yang dikongsi oleh pendakwah terkenal, Datuk Dr Norhafizah Musa dalam satu hantaran di Instagram baru-baru ini.

Menerusi perkongsian tersebut, beliau berkongsi mengenai persoalan segelintir individu yang tidak berani memikirkan soal jodoh kerana bimbang akan menambah komitmen, sedangkan dirinya masih menyara ibu bapa dan adik-beradik.

"Saya ni anak sulung, ustazah. Dari dulu bantu mak ayah, tanggung adik-adik sekolah. Sekarang umur pun dah masuk 30. Takut nak fikir soal kahwin sebab rasa tanggungjawab saya belum selesai," luah seorang wanita kepada Dr Norhafizah.

Tampil memberi penjelasan, Dr Norhafizah berkata, walaupun perkahwinan adalah satu bentuk komitmen, ia tidak semestinya menjadi beban yang menindih tanggungjawab sedia ada.

“Perkahwinan memang satu komitmen, tetapi bukan bererti kita perlu melepaskan semua tanggungjawab lain. Ia boleh diurus secara bersama, asalkan pasangan memahami keadaan kita,” katanya.

Menurut beliau, perkara paling penting ialah mencari pasangan yang sedar dan faham tentang tanggungjawab yang sedang ditanggung. 

Malah, beliau menasihati agar adik-beradik lain juga diberi ruang untuk sama-sama memikul tanggungjawab yang selama ini ditanggung seorang diri.

“Kadangkala ada dalam sebuah keluarga itu, semuanya diletakkan atas bahu seorang sahaja. Adik-beradik lain jadi terbiasa untuk lepas tangan. Ini budaya yang perlu diubah,” tegas beliau.

Dr Norhafizah turut menegaskan bahawa kita tidak perlu menunggu semua urusan keluarga selesai sepenuhnya sebelum mendirikan rumah tangga. 

Sebaliknya, perkahwinan seharusnya disegerakan pada usia yang sesuai iaitu ketika masih sihat, bertenaga dan stabil dari segi emosi.

“Kalau sudah mencapai usia 25 ke 30 tahun, itu masa yang sesuai. Kita tak perlu tunggu keadaan sempurna. Apa yang perlu ialah persediaan, penyesuaian, dan kewangan yang diurus secara bijak,” katanya.

Beliau turut menyeru agar para ibu bapa lebih peka terhadap masa depan anak-anak yang terlalu lama berkorban demi keluarga, terutamanya jika mereka adalah satu-satunya yang menanggung segalanya.

Dr Norhafizah menutup pesanan itu dengan menyeru golongan bujang agar tidak putus berdoa dalam usaha membina keluarga sendiri.

Menurutnya, doa adalah kunci kepada pembukaan rezeki dan ketenangan jiwa.

“Mohon kepada ALLAH, ‘Ya ALLAH, kurniakan aku keturunan yang soleh.’ Doa ini akan membuka jalan. Bila kita minta keturunan yang baik, ALLAH akan datangkan pasangan yang baik.

"Percayalah, pengorbanan kita tidak akan sia-sia. ALLAH akan balas dengan sebaik-baik ganjaran, di dunia dan akhirat,” katanya.