
KEMUNCULAN Puteri Wales, Catherine atau lebih dikenali sebagai Kate Middleton di acara Trooping the Colour 2025 pada Sabtu menjadi tumpuan utama rakyat Britain dan peminat diraja di seluruh dunia.
Ini merupakan penampilan rasmi pertamanya selepas beberapa bulan menyepi daripada tugas awam susulan rawatan kanser yang sedang dilaluinya.
Kehadirannya bukan sahaja membawa kelegaan kepada rakyat, malah memberikan semangat dan harapan kepada mereka yang mengikuti perkembangan kesihatannya.
BACA LAGI: Almari 2 tingkat Sheilanan curi perhatian, transformasi mewah dekorasi rumah moden
Beliau tiba menaiki kereta kuda bersama tiga anaknya iaitu Putera George, Puteri Charlotte dan Putera Louis.
Beliau kelihatan tenang dan anggun dalam busana kot labuh berwarna biru akuamarin yang dihiasi kolar dan lengan putih. Busana tersebut merupakan rekaan pereka pilihannya, Catherine Walker.
Gaya tersebut mengingatkan ramai kepada penampilan ikonik mendiang Puteri Diana semasa lawatan ke Delhi pada tahun 1992.
Topi lebar dengan rekaan arca ciptaan Juliette Botterill pula melengkapkan keseluruhan penampilan Puteri yang tampil berseri.
Kate turut menyelitkan elemen sentimental dalam gaya peribadinya. Beliau memakai kerongsang Regimen Pengawal Ireland sebagai simbol peranannya sebagai kolonel serta sepasang subang yang pernah dimiliki oleh mendiang Ratu Elizabeth II.
Kedua-dua aksesori ini memberi penghormatan kepada tradisi serta generasi terdahulu dalam keluarga diraja.
Puteri Charlotte juga mencuri tumpuan apabila tampil sedondon dengan ibunya dalam gaun berona biru lembut. Gaun tersebut dihiasi riben putih dan dipadankan dengan kasut putih.
Rambutnya diikat kemas dengan tocang, menyerlahkan penampilan sopan dan manis sebagai seorang puteri muda.
Kate melangkah elegan dalam kasut Gianvito Rossi, diikuti oleh ketiga-tiga cahaya matanya. — Agensi
Acara Trooping the Colour kali ini turut disertai Raja Charles III dan Permaisuri Camilla yang juga hadir menaiki kereta kuda terbuka.
Raja dan Permaisuri kemudian menyertai keluarga diraja lain termasuk Putera William, Puteri Anne, Duke dan Duchess of Edinburgh serta ahli keluarga diraja yang lain untuk menyaksikan pertunjukan udara oleh Tentera Udara Diraja dari balkoni Istana Buckingham.
Tahun ini, Raja Charles turut meminta semua ahli keluarga diraja yang terlibat dalam perarakan untuk mengenakan lengan hitam sebagai tanda penghormatan kepada mangsa nahas pesawat Air India yang berlaku baru-baru ini.
Walaupun Kate memaklumkan lebih awal bahawa kehadirannya bergantung kepada tahap kesihatan semasa, kemunculannya di acara berprestij ini membawa makna besar kepada rakyat.
Penampilannya yang penuh ketenangan dan bergaya dilihat sebagai simbol kekuatan dan ketabahan seorang wanita yang sedang melalui rawatan tetapi tetap komited terhadap tanggungjawabnya sebagai anggota utama keluarga diraja.
Tahun lalu, beliau tampil dalam gaun putih yang dipakai semula rekaan Jenny Packham selepas pengumuman mengenai penyakitnya. Penampilannya ketika itu disifatkan sederhana.
Tahun ini pula, gaya yang lebih berani dan ceria memperlihatkan satu naratif baharu yang mencerminkan kekuatan dalaman dan semangat positif. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram