
DALAM diam, seorang ayah sering mencipta ruang paling bermakna buat keluarganya, bukan sekadar struktur rumah tetapi tempat pulang yang dipenuhi rasa selamat, ketenangan dan kasih sayang.
Sempena sambutan Hari Bapa tahun ini, beberapa bapa dari pelbagai latar belakang berkongsi bagaimana mereka menzahirkan kasih terhadap anak-anak melalui usaha mencipta ruang kediaman selesa dan bermakna.
Bagi Ahmad Zabidi Ismail, 64, seorang ketua pegawai kksekutif dan bapa kepada dua anak, menjaga penampilan rumah bukan sekadar soal kebersihan atau estetik.
Bagi Ahmad Zabidi (kiri) kediaman yang rapi merupakan salah satu bentuk komunikasi kasih sayang senyap buat anaknya, Qistina.
Ia adalah bentuk kasih yang tidak diluahkan secara lisan.
"Rumah ini bukan sekadar tempat tinggal, ia perkara pertama yang anak-anak saya lihat selepas melalui hari yang meletihkan.
"Saya mahu mereka tahu mereka pulang ke tempat yang stabil dan dilindungi,” katanya.
Beliau berkata, menjaga bahagian luar rumah, memastikan dinding tidak mengelupas dan suasana rumah sentiasa rapi merupakan satu bentuk komunikasi senyap antara seorang ayah dan anak.
"Macam jadi ayah. Kita bertindak dalam diam. Mereka mungkin tak selalu nampak, tapi mereka akan rasa.
"Ruang yang membesarkan anak-anak, dan menyimpan memori sepanjang hayat.
"Itulah kasih ayah, tak selalu nampak, tapi sentiasa ada," kata Ahmad Zabidi.
Sementara itu, anak perempuannya, Qistina, turut berkongsi satu pengalaman sewaktu di universiti.
"Saya pernah memandu pulang lewat malam waktu hujan lebat. Penat sangat, tapi bila nampak rumah bercahaya dan warna dinding yang terang walau berkabus, saya rasa tenang.
"Ayah berdiri di depan dengan payung. Dia cuma kata, ‘Jom masuk.’ Saya takkan lupa rasa selamat waktu itu,” katanya.
Michael (kanan) memberikan terbaik buat sudut bacaan anaknya, Sarah.
Sudut bacaan kekal jadi ruang selamat
Bagi pesara, Michael Haris Moi, 76, rumah adalah tempat di mana emosi dan kenangan dikumpul secara perlahan termasuk sudut bacaan yang dibinanya khas untuk anak perempuan, Sarah.
"Saya tahu dia suka membaca. Jadi saya sediakan ruang khas di tepi tingkap dengan cukup tenang dan selesa.
"Warna yang dipilih pun bukan sebarang, mesti beri ketenangan,” katanya.
Walaupun kini Sarah sudah dewasa dan berusia 34 tahun, ruang itu masih menjadi tempat dia ‘reset semula’ apabila kehidupan menjadi terlalu sibuk.
"Kadang-kadang saya rasa hilang fokus dengan tuntutan harian. Tapi bila balik dan duduk di sudut itu, saya rasa tenang.
"Ia buat saya rasa macam ayah masih ada, walaupun dia diam saja. Ruang ini cara dia kata, ‘Saya sentiasa di sisi awak’," ujarnya.
Memilih tona yang tepat bukan hanya mencantikkan rumah, tetapi untuk mewujudkan rasa tenang, dilindungi serta disayangi.
Rumah jadi ruang membesar bersama anak
Bagi Prakash Jayakumar, 38, yang kini membesarkan seorang anak lelaki kecil, rumah adalah tempat pembentukan ikatan kekeluargaan tidak ternilai.
"Tiga tahun lepas, saya jadi ayah buat kali pertama. Rumah yang kosong dulu kini jadi ruang untuk bermain, belajar dan membesar,” katanya.
Tambah Prakash, pemilihan warna serta susunan ruang di rumah baharu mereka dilakukan sepenuh hati agar anaknya membesar dalam suasana yang selamat dan positif.
"Saya guna rujukan visual dan inspirasi reka bentuk supaya setiap sudut ada tujuan, ada ruang untuk ketawa, ada ruang untuk berehat.
"Ia bukan lagi rumah kosong, tapi ruang bertenaga yang menyatukan kami,” katanya.
Walaupun mengakui pernah ragu-ragu tentang kemampuannya sebagai ayah, Prakash kini sedar bahawa kehadiran dan usaha kecil setiap hari itulah yang memberi impak besar dalam hidup anaknya.
"Kadang saya rasa tak cukup bagus. Tapi bila anak peluk tanpa sebab, atau ketawa kerana hal kecil yang hanya kami faham, saya tahu ruang ini sedang membantu saya menjadi ayah yang lebih baik,” katanya.
Meskipun peranan warna dan susun atur sering dilihat remeh, para bapa yang ditemu bual percaya bahawa ia membawa maksud lebih mendalam terutamanya apabila setiap keputusan dibuat dengan kasih sayang.
Bagi mereka, memilih tona yang tepat bukan hanya untuk mencantikkan rumah, tetapi untuk mewujudkan rasa tenang, dilindungi serta disayangi.
Dalam kesemua perkongsian itu, rumah bukan lagi sekadar tempat berteduh, tetapi medan kasih yang dibina perlahan-lahan, tanpa banyak bicara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram