'Tak mengapa mula semula,' Natasha 'berdamai' dengan seni seramik, umpama susun semula kehidupan


  • Cinta
  • Ahad, 01 Jun 2025

Natasha Hudson menganggap seni seramik sebagai ruang peribadi untuk memulihkan diri dan menyusun semula kehidupannya. — Instagram/@natashahudsonofficial

PELAKON dan usahawan, Natasha Hudson kini menemui ketenangan baharu melalui seni seramik yang disifatkan sebagai bentuk terapi jiwa.

Menerusi proses membentuk tanah liat secara manual, wanita berusia 43 tahun itu melihat seni tersebut bukan sekadar aktiviti kreatif, tetapi sebagai ruang peribadi untuk memulihkan diri dan menyusun semula kehidupan.

Bermula secara santai ketika menetap di Langkawi, Kedah, minatnya terhadap seramik kini berkembang dan menjadi salah satu ruang untuknya menenangkan fikiran.

BACA LAGI: Pintu louvre kayu pilihan moden, bergaya untuk rumah di Malaysia

BACA LAGI: Pegang pintu untuk orang lain antara 7 ciri personaliti hebat, bukan perbuatan 'biasa-biasa'

“Seramik ialah tempat saya kembali kepada diri,” katanya dalam satu hantaran di media sosial sambil menekankan bahawa tidak mengapa untuk bermula semula.

Baginya, rebranding bukanlah untuk menarik perhatian dunia, tetapi satu usaha untuk menyesuaikan diri dan menemui semula diri sebenar.

“Manusia bukan makhluk kekal sama. Manusia berkembang, belajar dan menemui semula diri. Di antara proses melepaskan dan membentuk semula diri, manusia menjalani rebranding bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri sendiri," tulisnya dalam hantaran pada 1 Mei lalu.

Beliau juga dilihat pernah menghasilkan tembikar bersama anak buahnya tahun lalu.

Natasha turut berkongsi hasratnya untuk melancarkan sebuah komuniti seni seramik yang dinamakan The Clay Ceremonies di Langkawi yang akan menggabungkan aktiviti brunch dan supper club lengkap dengan dekorasi menarik, hidangan enak, serta ruang untuk berborak dan melakukan jurnal minda secara santai.

Ia bertujuan menjadi tempat untuk berkumpul, berhubung dan mencari kesejahteraan bersama.

Perjalanan seni Natasha turut dipenuhi momen istimewa bersama anaknya, Kaia.

Dalam satu hantaran gambarnya lagi pada 25 October 2024, Natasha dilihat menghasilkan karyanya sambil menggendong Kaia dengan kain.

Selain daripada seni tembikar, Natasha juga dilihat semakin mahir dalam sukan meluncur air sejak menetap di Langkawi.

Beliau juga banyak berkongsi video-video memaparkannya melakukan aksi sukan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram