
RAMAI wanita masih dibelenggu rasa bersalah apabila terpaksa membuat keputusan sendiri tanpa keizinan suami terutama dalam situasi mendesak.
Namun, menurut peguam syarie, Fatimah Majemi, tidak semua tindakan isteri tanpa izin suami dianggap sebagai nusyuz atau berdosa dalam pandangan Islam.
Dalam satu hantaran yang tular di Facebook baru-baru ini, Fatimah menjelaskan tujuh situasi utama apabila seorang isteri tidak dikira nusyuz, sekalipun bertindak tanpa keizinan suami terutamanya jika melibatkan keperluan hidup, keselamatan diri atau pengabaian tanggungjawab oleh suami sendiri.
Isteri tidak dikira nusyuz jika keluar dari rumah tanpa izin kerana menjadi mangsa penderaan. — Gambar Hiasan
Berikut ialah penjelasan terperinci yang dikongsikan:
1. Keluar bekerja demi kelangsungan hidup
Isteri yang keluar bekerja tanpa izin suami tidak dianggap nusyuz jika si suami gagal atau cuai dalam menyediakan nafkah asas.
Dalam kes itu, Fatimah berkata, isteri bertindak atas keperluan dan bukannya mengingkari perintah suami.
2. Enggan tinggal di rumah mertua
Jika suami tidak menyediakan rumah kelamin yang khusus untuk isteri dan anak-anak dan hanya mahu tinggal di rumah ibu bapa sendiri, isteri berhak menolak tanpa dikira nusyuz.
3. Keluar rumah demi keselamatan diri dan anak
Isteri yang keluar dari rumah tanpa izin kerana menjadi mangsa penderaan sama ada fizikal, mental atau bagi menjaga keselamatan anak-anak tidak berdosa, bahkan dibenarkan menurut hukum syarak.
4. Pergi ke pejabat agama atau balai polis
Tindakan isteri keluar rumah untuk ke pejabat agama, balai polis, mahkamah atau agensi bantuan lain bagi menuntut hak atau membuat aduan adalah sah dan tidak melanggar syarak meskipun tanpa izin suami.
5. Menolak hubungan kelamin kerana uzur
Menolak permintaan suami untuk bersama bukanlah satu kesalahan jika isteri berada dalam keadaan uzur seperti haid, nifas, atau sakit.
6. Rasa tawar hati atau kecewa
Perasaan seperti kecewa, tawar hati atau tidak suka terhadap suami tidak boleh dijadikan alasan untuk melabel isteri sebagai nusyuz kerana emosi di dalam hati adalah di luar kawalan manusia.
7. Menolak beban yang bukan tanggungjawab isteri
Fatimah berkata, jika suami meminta isteri untuk menanggung kewangan keluarga, menjaga mertua atau urusan lain yang sepatutnya di bawah tanggungjawab suami, maka isteri berhak untuk menolak tanpa dianggap nusyuz. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram