
MENOPAUS mungkin kedengaran jauh bagi wanita muda, tetapi hakikatnya ia adalah satu fasa yang pasti akan tiba.
Seperti perubahan lain dalam hidup melibatkan akil baligh, kehamilan, bersalin, menopaus juga memerlukan persediaan dan pemahaman.
Ramai wanita tidak sedar apabila perubahan tersebut bermula.
BACA LAGI: Miliki pesona, keanggunan semula jadi, Nani Saban dinobat Kumang Gawai Dayak Sibu 2025
Justeru, pakar Obstetrik dan Ginekologi (O7G), Dr. Faizan Irdawaty Endut menerusi perkongsian video di akaun TikToknya berkata, mengenali tanda-tanda awal menopaus amat penting agar wanita dapat bersedia secara fizikal dan emosi.
Menopaus adalah fasa semula jadi dalam kehidupan setiap wanita yang lazimnya berlaku antara usia 45 hingga 55 tahun.
“Walaupun sekarang ni seseorang tu sangat awet muda, umur baru 20-an, masa akan berlalu dan kita akan sampai waktu di mana kita akan dipanggil mak cik ataupun nenek,” ujar beliau sambil menekankan hakikat proses penuaan yang tidak dapat dielakkan.
Antara tanda utama menopaus ialah ketiadaan haid selama 12 bulan berturut-turut.
"Contoh, haid terakhir anda adalah Januari 2024. Anda berumur 46 tahun dan setahun berlalu tak datang haid. Maka, anda dah masuk kategori menopaus,” jelasnya.
Namun, sebelum menopaus berlaku, wanita akan melalui fasa pra-menopaus yang turut hadir dengan pelbagai simptom.
Antaranya adalah keletihan melampau, gangguan tidur, perubahan mood, keresahan dan penurunan nafsu seksual.
“Mungkin wanita mengalami masalah keresahan, selalu risau, mood berubah, insomnia, badan rasa macam tak ada tenaga. Nafsu untuk bersama juga tak ada,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa sesetengah wanita mengalami simptom seperti berdebar-debar, kulit kering dan kekeringan faraj yang boleh menjejaskan hubungan intim.
Menurut Dr. Faizan lagi, rawatan menopaus tidak semestinya melibatkan hormon.
“Kalau simptom anda terlalu teruk, pakar perubatan boleh bagi bantuan hormon atau suplemen herba ataupun rawatan simptom tertentu saja,” katanya.
Lebih penting, beliau menekankan risiko kehilangan ketumpatan tulang yang boleh menyebabkan osteoporosis.
“Yang paling signifikan menjelang menopaus ni adalah masalah ketumpatan tulang yang akan berkurang. Itu yang mendedahkan kepada osteoporosis,” jelasnya sambil menyarankan pengambilan suplemen kalsium sebagai langkah pencegahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram