Lambang kebangkitan serantau, 39 syarikat terkemuka diktiraf Anugerah Asia ESG Positive Impact 2025


  • Bisnes
  • Sabtu, 08 Nov 2025

Anugerah Asia ESG PIA 2025 merupakan kemuncak kepada usaha setahun Konsortium Asia ESG Positive Impact (A-EPIC) yang turut merangkumi Sidang Kemuncak Asia ESG 2025. — NG KOK LEONG/The Star

 

 

KOMITMEN teguh sektor awam dan swasta dalam memperjuangkan kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) terserlah apabila 39 syarikat terkemuka dari Malaysia, Filipina dan Indonesia diumumkan sebagai penerima 52 anugerah berprestij pada Anugerah Asia ESG Positive Impact pertama (PIA) 2025.

Lebih daripada sekadar majlis penghargaan, acara yang berlangsung penuh gemilang di Sunway Resort Hotel dekat Subang Jaya, Selangor pada Khamis itu menjadi lambang kebangkitan Asia Tenggara sebagai rantau yang kian menyerlah dalam menjadikan kelestarian sebagai nadi kemajuan ekonomi, kesejahteraan sosial dan tanggungjawab bersama terhadap bumi.

Anugerah tersebut juga mencatat sejarah sebagai pengiktirafan serantau pertama oleh Asia ESG Positive Impact Consortium (A-EPIC), satu kerjasama berimpak tinggi antara tiga gergasi media serantau, iaitu Star Media Group (SMG) dari Malaysia, KG Media dari Indonesia dan Inquirer Group of Companies dari Filipina.

BACA LAGI: Asia ESG Summit 2025 jadi pentas kukuhkan komitmen serantau terhadap masa depan lestari

BACA LAGI: Penjurian ESG PIA capai kata putus, juri serantau sepakat perkukuh komitmen kelestarian

Pelbagai kategori, satu matlamat bersama

ESG Awards 2025 at Sunway Resorts hotel..—AZHAR MAHFOF/The Star.

39 syarikat terkemuka dari Malaysia, Filipina dan Indonesia diumumkan sebagai penerima 52 anugerah berprestij pada Anugerah Asia ESG Positive Impact pertama (PIA) 2025. —AZHAR MAHFOF/The Star.

Sebanyak 12 kategori utama dinilai panel juri antarabangsa bagi menentukan pemenang, meliputi bidang seperti pemuliharaan biodiversiti, pengurusan sisa, tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga, rantaian bekalan lestari, perkongsian inovatif serta transformasi korporat.

Aspek sosial turut diberi perhatian dengan pengiktirafan terhadap usaha dalam kepelbagaian dan inklusiviti, komuniti, hak asasi manusia, piawaian buruh, pengurusan bakat dan kesejahteraan hidup.

Menariknya, semua pemenang sebelum ini diiktiraf menerusi anugerah tempatan seperti ESG PIA oleh SMG, Lestari Awards oleh KG Media serta ESG Edge Impact Awards oleh Inquirer Group of Companies.

Anugerah itu turut menghimpunkan pelbagai jenis organisasi daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hingga syarikat korporat bertaraf global yang menunjukkan semangat juang tinggi terhadap kelestarian, ketahanan iklim serta amalan perniagaan beretika.

ESG kini menjadi mandatori dan para pelabur menuntut lebih banyak ketelusan serta kebertanggungjawaban.

Kerjasama serantau

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, anugerah itu menjadi platform penting dalam memperkukuh kepimpinan korporat dan menyemai nilai awam berkaitan ESG.

"Perubahan iklim, kekurangan sumber dan ketidaksamarataan sosial tidak mengenal sempadan, begitu juga penyelesaiannya.

"Di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), kita menyasarkan 70 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050,"katanya.

Beliau menegaskan, tindakan kerajaan semata-mata tidak mencukupi tanpa penglibatan sektor swasta, masyarakat sivil dan media dalam meningkatkan kesedaran serta memupuk perubahan tingkah laku secara menyeluruh.

"Kerjasama serantau menjadi kunci kepada peralihan tenaga yang adil, saksama dan inklusif," tambahnya.

Anugerah Asia ESG Positive Impact pertama (PIA) 2025 merupakan kemuncak kepada usaha setahun Konsortium Asia ESG Positive Impact (A-EPIC) yang turut merangkumi Sidang Kemuncak Asia ESG 2025.

Tambah beliau lagi, penganjuran anugerah itu menjadi platform penting untuk memperkasa usaha korporat dalam kepimpinan ESG selain membentuk nilai masyarakat terhadap kelestarian.

"Melalui penganjuran ini, kita dapat melihat bagaimana kerjasama antara Malaysia, Indonesia dan Filipina mampu memupuk pemikiran bersama mengenai kelestarian di seluruh Asia Tenggara.

"Kerjasama ini menghantar mesej jelas bahawa Asia bukan sahaja bersedia menerima piawaian kelestarian global, tetapi turut bersedia untuk menjadi peneraju dengan penyelesaian yang berpaksikan kekuatan budaya, keutamaan ekonomi dan nilai komuniti kita sendiri.

"Usaha anda semua mengingatkan kita bahawa kelestarian bukan destinasi terakhir, sebaliknya satu komitmen berterusan yang berpaksikan integriti dan penambahbaikan tanpa henti," katanya.

Penggerak perubahan

ESG Awards 2025 at Sunway Resorts hotel..—AZHAR MAHFOF/The Star.

Seng Fatt (kiri) beramah mesra bersama dengan Ketua Pegawai Operasi Philippine Daily Inquirer, Rudyard Arbolado pada majlis penghargaan Anugerah Asia ESG Positive Impact pertama (PIA) 2025. AZHAR MAHFOF/The Star.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Star Media Group (SMG), Chan Seng Fatt berkata, penganjuran anugerah itu merupakan satu pencapaian bersejarah dalam usaha menjadikan kelestarian sebagai tunjang utama kepada dunia perniagaan, masyarakat dan ekonomi pada masa hadapan.

Menurutnya, Anugerah Asia ESG Positive Impact bukan sekadar satu bentuk pengiktirafan, sebaliknya satu gerakan bersama yang memperkukuh kerjasama serantau antara gergasi media dalam usaha melangkah ke hadapan, bukan hanya sebagai penyampai berita tetapi sebagai penghubung antara pelbagai pihak berkepentingan.

"Melalui penganugerahan ini, kami membantu menghubungkan perniagaan, pembuat dasar, pelabur dan komuniti bagi bertukar pengetahuan serta mempercepat transformasi ESG.

"Dengan meraikan para pemenang ini, kita sebenarnya mempercepat penerapan amalan lestari di seluruh negara dan menggalakkan lebih banyak perniagaan mengintegrasikan prinsip ESG dalam strategi masing-masing," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Seng Fatt turut menegaskan, anugerah tersebut menonjolkan kepentingan inklusiviti dalam peralihan ESG apabila setiap organisasi, sama ada besar atau kecil turut diberi pengiktirafan atas usaha mereka.

Beliau menyeru semua pihak berkepentingan agar menggunakan anugerah itu sebagai pemangkin untuk memperkukuh kerjasama, berkongsi amalan terbaik serta meluaskan penyelesaian yang memberi impak nyata kepada masyarakat dan alam sekitar.

"Bersama-sama, marilah kita membina rantau yang bertanggungjawab, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan serantau yang menukar niat kepada kemajuan serta cita-cita kepada tindakan.

"Usaha anda semua mengingatkan kita bahawa kelestarian bukanlah destinasi akhir, sebaliknya komitmen berterusan yang berpaksikan integriti dan penambahbaikan tanpa henti," jelasnya.

ESG sebagai budaya, bukan sekadar pematuhan

ESG Awards 2025 at Sunway Resorts hotel..—AZHAR MAHFOF/The Star.

Suasana pada sekitar majlis majlis penghargaan Anugerah Asia ESG Positive Impact pertama (PIA) 2025 yang berlansung Sunway Resort Hotel dekat Subang Jaya, Selangor pada Khamis. —AZHAR MAHFOF/The Star.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Philippine Daily Inquirer, Rudyard Arbolado berkata, penganjuran anugerah itu bukan sekadar pengiktirafan terhadap usaha ESG, sebaliknya menjadi platform untuk perubahan positif dalam dunia korporat.

Menurutnya, meraikan kejayaan sememangnya penting, namun nilai yang lebih besar terletak pada usaha menonjolkan potensi sebenar dan berkongsi model kejayaan yang mampu memberi inspirasi serta panduan kepada pihak lain.

"Kami ingin menunjukkan bahawa ESG bukan sekadar satu bentuk pematuhan atau aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) semata-mata, tetapi ia merupakan pemacu utama kepada nilai, pertumbuhan dan daya ketahanan dalam persekitaran perniagaan masa kini," ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Kelestarian KG Media, Wisnu Nugroho, berharap penganjuran Anugerah Asia ESG Positive Impact (PIA) 2025 dapat menjadi pemangkin kepada transformasi ESG yang lebih menyeluruh di seluruh rantau ini.

Menurutnya, pengiktirafan terhadap impak sebenar dan boleh diukur bukan sekadar meraikan pencapaian, tetapi juga menginspirasikan syarikat untuk menjadikan ESG sebahagian daripada budaya kerja mereka, bukan hanya sebagai pematuhan dasar.

"Melalui pengiktirafan ini, kami ingin membentuk generasi perusahaan yang memacu pertumbuhan inklusif, melindungi sumber semula jadi serta menentukan hala tuju ekonomi masa depan rantau ini berasaskan tanggungjawab dan ketahanan," katanya.

Tambah Wisnu, usaha bersama itu turut memperkukuh naratif bahawa kelestarian bukan hanya ukuran Barat, tetapi gerakan Asia yang berpaksikan empati, keterangkuman serta visi bersama untuk masa depan.

ESG Awards 2025 at Sunway Resorts hotel..—AZHAR MAHFOF/The Star.

Anugerah Asia ESG Positive Impact pertama (PIA) 2025 mencatat sejarah sebagai pengiktirafan serantau pertama oleh Asia ESG Positive Impact Consortium (A-EPIC), satu kerjasama berimpak tinggi antara tiga gergasi media serantau, iaitu SMG, KG Media dari Indonesia dan Inquirer Group of Companies dari Filipina.—AZHAR MAHFOF/The Star.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualan Sime Darby Property, Datuk Lai Shu Wei berkata, anugerah tersebut mempercepat penerapan amalan ESG secara praktikal dalam pelbagai sektor melalui perkongsian kerangka kerja yang telah terbukti berkesan.

"Anugerah ini menunjukkan bahawa pembangunan dan alam semula jadi boleh digabungkan secara bermakna apabila disokong oleh garis panduan yang jelas. Ia menggalakkan lebih banyak pihak menukar niat kepada tindakan sebenar," ujarnya.

Beliau menambah, pendekatan itu menjadikan kelestarian sebagai norma masa depan yang berasaskan bukti dan nilai jangka panjang, bukan sekadar pilihan sampingan.

Turut hadir pada majlis berprestij itu ialah Duta Besar Filipina ke Malaysia, Maria Angela A. Ponce; Timbalan Ketua Misi Indonesia ke Malaysia, Danang Waskito; Timbalan Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta DBKL, Siti Maizun Arshad; Pengerusi SMG, Tan Sri Wong Foon Meng; Ketua Pegawai Operasi SMG, Lydia Wang serta Ketua Pegawai Kandungan SMG, Datin Paduka Esther Ng.

Anugerah Asia ESG Positive Impact pertama (PIA) 2025 merupakan kemuncak kepada usaha setahun Konsortium Asia ESG Positive Impact (A-EPIC) yang turut merangkumi Sidang Kemuncak Asia ESG 2025 bermula 5 November dan berakhir pada Jumaat.

Platform itu menjadi medan perbincangan antara syarikat, pemimpin pemikiran dan pembuat dasar dalam membentuk masa depan lestari rantau ini.

Selain Malaysia, Indonesia dan Filipina, sidang kemuncak sulung itu turut disertai delegasi dari Kemboja, India, Sri Lanka, Korea Selatan, Jerman, Singapura, Brunei dan Afrika Selatan.

Kedua-dua acara tersebut dianjurkan SMG dengan kerjasama Sime Darby Property selaku Rakan Biodiversiti Bandar. — The Star/BENJAMIN LEE

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram