PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa membatalkan lawatannya ke Pahang pada Ahad selepas menerima nasihat perubatan untuk berehat.
Menerusi sebuah kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO), Anwar berkata, beliau mengalami sakit belakang yang mengehadkan pergerakannya.
"Atas nasihat doktor, Perdana Menteri dinasihatkan agar mendapatkan rehat yang mencukupi. YAB Perdana Menteri memohon maaf setulusnya, khususnya kepada rakyat Pahang yang bersiap sedia menyambut kehadiran beliau," tulis kenyataan berkenaan.
BACA LAGI: ‘Soundtrack’ pilihan PMX angkat melodi khazanah negara, bintang legenda curi tumpuan delegasi ASEAN
BACA LAGI: Himpunan aman Turun Anwar: Polis siasat peserta bawa patung mirip PMX — Pemangku KP KL

Anwar (tengah) baru sahaja pulang dari mengetuai delegasi Malaysia AELM di Korea Selatan.
Anwar dijadual merasmikan Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2025 di Temerloh, Pahang pada Ahad sebelum ke Program Temu Anwar@UMPSA di Dewan Utama Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kampus Gambang.
Beliau seterusnya dijadual menghadiri sesi ramah mesra bersama Penggerak Industri Kuantan di ADTEC Jabatan Tenaga Manusia Kampus Kuantan.
Perdana Menteri berlepas pulang ke tanah air pada Sabtu selepas menamatkan lawatan kerja ke Korea Selatan, ketika beliau mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), Jumaat lepas.
Sebelum itu, Anwar mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dihadiri pemimpin-pemimpin dunia berpengaruh di ibu negara dari 26 hingga 28 Oktober lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
