
KISAH seorang budak lelaki yang berjalan kaki sambil menjual jagung rebus dengan harga hanya RM1 sebatang di sekitar Ampang, Kuala Lumpur meraih perhatian ramai selepas dikongsikan di media sosial.
Perkara berkenaan diceritakan oleh pengguna Threads, @itsmearynnazaofficial yang berkongsi pengalaman ketika ditegur kanak-kanak berkenaan untuk membeli jagung.
Menurutnya, kanak-kanak lelaki tersebut dengan penuh sopan menawarkan jagung pada harga serendah RM1 sebatang atau seikhlas hati pembeli.
BACA LAGI: Bencana Sabah: Budak 10 tahun antara 12 maut di Papar selepas 18 jam operasi menyelamat
“Tadi adik ini menegur saya, bertanya sama ada mahu membeli jagung atau tidak. Katanya, bayarlah berapa pun, sebatang RM1 pun tidak mengapa atau seikhlas hati sahaja.
“Kebetulan dalam beg tangan saya hanya ada wang tunai RM12 kerana dia tidak mempunyai kemudahan kod QR. Satu beg berisi tiga batang jagung, tetapi tiba-tiba dia terus memberikan dua beg sekali gus,” tullisnya.
Katanya lagi, meskipun kelihatan penat kerana berjalan jauh sambil mengusung beg berisi jagung, kanak-kanak itu tetap bersemangat mencari pembeli.
“Jagung dia manis dan sedap, lebih-lebih lagi bila makan panas-panas. Kalau siapa ternampak dia berniaga sekitar Ampang Point, tolonglah sokong. Agaknya dia pun nak cari duit belanja cuti sekolah ini,” tambahnya.
Tangkap layar hantaran dari pengguna Threads itu.
Perkongsian tersebut segera mendapat perhatian warganet yang rata-rata tersentuh dengan kegigihan kanak-kanak itu dalam mencari rezeki untuk diri dan mungkin keluarganya juga.
Ramai yang memuji semangat berdikari adik tersebut meskipun pada usia muda, malah ada yang menyatakan hasrat untuk mencari dan membeli jagung daripadanya sebagai tanda sokongan.
Ada juga pengguna media sosial yang menyifatkan kisah berkenaan sebagai peringatan bahawa masih ramai kanak-kanak sanggup berusaha sendiri untuk membantu keluarga, berbanding memilih jalan mudah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram